Azahari, Noordin dipercayai tubuh kumpulan sendiri
Terjemahan Azahari Husin dan Noordin Mohammad Top dua pelarian Malaysia yang paling dikendaki berhubung pengeboman di Indonesia dipercayai dalam proses menubuhkan kumpulan mereka sendiri, demikian menurut seorang pakar hari ini.
Terjemahan Azahari Husin dan Noordin Mohammad Top dua pelarian Malaysia yang paling dikendaki berhubung pengeboman di Indonesia dipercayai dalam proses menubuhkan kumpulan mereka sendiri, demikian menurut seorang pakar hari ini.
Kedua-duanya yang merupakan orang paling dikendaki di Asia dan dikaitkan dengan JI kumpulan yang didakwa bertanggungjawab terhadap pengeboman Bali yang membunuh 202 orang tiga tahun lalu, serta serangan bom ke atas sebuah hotel di Jakarta dan Kedutaan Australia di republik itu.
"Tetapi ada tanda-tanda yang mereka berdua sedang dalam proses mewujudkan kumpulan mereka sendiri," kata Sidney Jones dari badan pemikir International Crisis Group, ketika berucap di Institut Dasar Strategi Australia bulan lalu.
"Tidak dapat dinafikan, rakyat asing menjadi sasaran dua rakyat Malaysia ini serta pengikut mereka," katanya dalam ucapan tersebut.
Dalam wawancara dengan AFP, Jones berkata, Azahari dan Noordin merupakan orang paling disyaki bertanggungjawab melakukan pengeboman di Bali Sabtu lalu yang membunuh sekurang-kurangnya 26 orang di pulau peranginan itu.
Beberapa kumpulan lain juga mampu menrekrut pengebom berani mati, katanya.
Unit penggempur
Dalam ucapannya itu, Jones berkata, sejak serangan pada 2003 ke atas hotel JW Marriot di Jakarta, yang mengorban 12 orang, Azahari dan Noordin bergerak di luar struktur JI, dengan menggunakan rangkaian hubunga peribadi dengan mereka di dalam dan luar JI.
"Kini terdapat beberapa petanda (mengenainya), tetapi maklumat yang ada masih sedikit, bahawa organisasi adhoc ini akan menjadi satu organisasi tersusun, dikenali sebagai 'unit penggempur'," katanya.
Jones yang telah membukukan banyak kajian mengenai JI dan golongan pelampau di Indonesia, berkata, kumpulan tersebut agak terjejas berikutan penahanan kira-kira 125 anggotanya.
Tidak seperti JI yang matlamatnya ialah menubuhkan negara Islam, pengikut Azahari menumpukan kepada tindakan membalas dendam terhadap kematian umat Islam di seluruh dunia dengan mensasarkan Amerika Syarikat dan "kuncu-kuncunya", kata Jones kepada AFP.
Sebahagian besar mangsa serangan bom pada 2002 di Bali adalah pelancong asing. Tetapi dalam serangan ke atas hotel Marriot, hanya seorang daripada 12 mangsanya, adalah rakyat asing, manakala yang lainnya adalah rakyat Indonesia. Serangan bom di Bali Sabtu lalu telah 14 rakyat Indonesia terbunuh.
Oleh itu, kata Jones, pengebom terbabit mungkin menyerangkan lagi Bali dengan mensasarkan pelancong asing.
Kemampuan terjejas
Bagaimanapun, kata Jones, walaupun Azahari dan Noordin mungkin menubuhkan kumpulan mereka sendiri, tetapi ia tidak mempunyai kemampuannya melancarkan serangan besar-besaran.
Namun begitu, katanya, serangan kecil-kecilan akan berterusan.
Menurutnya, kawalan keselamatan terhadap sistem feri yang menghubungkan Bali dengan kepulauan Jawa, dan sistem pengangkutan bas, perlu dipertingkatkan, tetapi menurutnya serangan berani mati memang sukar dibendung.
Beliau juga menganggapkan sebagai misteri mengapa Azahari dan Noordin masih belum dapat diberkas oleh pihak berkuasa.
"Tetapi kita juga boleh bertanya mengapa Osama bin Laden pun belum dapat diberkas," katanya merujuk kepada ketua kumpulan al-Qaeda, yang menurut pihak berkuasa ada kaitan dengan JI.
Bagaimanapun, Jones yakin yang mereka ini akan dapat diberkas juga akhirnya.
Pada sekitar pertengahan tahun lalu, sesetengah pemimpin JI telah memberi kebenaran kepada pengikutnya supaya memaklumkan mengenai pelarian dari Malaysia itu sekiranya mereka tahu di mana kedua-dua bersembunyi, kata Jones lagi.
Katanya, walaupun mungkin ada sesetengah anggota JI yang tidak bersetuju dengan tindakan mengebom sasaran Barat, tetapi mereka masih mahu menubuhkan negara Islam di Indonesia, dan untuk itu mereka membina kemampuan ketenteraan.
Walaupun sekiranya Azahari dan Noordin, dapat ditangkap sekalipun, Jones yakin serangan seumpama itu akan tetap berterusan./ Berita asal
- AFP

