'Namewee, jangan ikut perangai anjing jalanan'
Pemimpin Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Datuk Mohd Razlan Rafii mengecam pemuzik kontroversi Wee Meng Chee atau dikenali sebagai Namewee dan menyifatkan agar tidak mengikut perangai anjing.
Ia susulan video terbaru Namewee bertemakan Tahun Baru Cina yang menggunakan perlambangan anjing bertajuk ‘Like A Dog’.
“Sempena Tahun Anjing ini, saya nasihatkan Namewee agar jangan ikut perangai anjing jalanan yang suka menyalak untuk mendapat perhatian, jadilah anjing yang diajar yang boleh menyalak apabila tuannya dikacau,” kata Razlan dalam kenyataannya hari ini.
Namewee sebelum ini mencetus kontroversi dengan lagu Negarakuku yang diubah suai dari lagu kebangsaan selain lagu Oh My God yang turut dikritik hebat.
Video terbaru itu yang dimuat naik 10 Februari lalu sudah dikongsi lebih 12,000 kali dan ditonton lebih 550,000 kali di akaun Youtube miliknya.
Lagu itu dirakam di kawasan lapang berlatarkan bangunan kediaman perdana menteri di Putrajaya menampilkan beberapa orang penari membuat aksi bertopengkan muka anjing.

Namewee yang duduk di atas kerusi di tengah-tengah, menyanyi menyerupai cara anjing menyalak di setiap negara sambil menyindir cara anjing Malaysia menyalak, “Mari mari wang wang”.
Di akhir klip, kedengaran bunyi kereta peronda, lalu penari dan Namewee berlakon seolah-olah melarikan diri dari kawasan itu.
Tidak libatkan parti politik
Mengulas perkara itu, Razlan berkata pihak berwajib harus mengekang penghasilan dan penyebaran video seumpama itu kerana dilihat menanam rasa kebencian kepada negara.
Razlan juga menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya mengambil tindakan ke atas Namewee.
“Banyak anjing gila sudah ditangkap, kenapa pula kita beri anjing Namewee ini pula terlepas? Minta SKMM sekat dan ambil tindakan terhadap Namewee,” kata Razlan.
Sementara itu, Namewee dalam kenyataan disiarkan di Youtube berkata, video Tahun Baru Cina yang dibuatnya itu hanyalah hiburan semata-mata dan tidak berniat untuk menghina mana-mana agama.
Tambahnya, laporan berita yang menuduhnya membuat penggambaran di dalam kawasan rumah ibadah dan menghina kawasan masjid adalah adalah tidak benar dan tidak pernah berlaku.
Sebaliknya, anak kelahiran Muar itu berkata, lokasi penggambaran itu dilakukan di hadapan Pejabat Perdana Menteri (PMO) di Putrajaya.
"Mungkin anda rasa ada kelakuan tidak senonoh dalam muzik video tersebut, tetapi ia hanyalah untuk hiburan sahaja, tiada niat untuk menghina mana-mana agama ataupun bangsa.

"Penggambaran muzik video ini dibuat di kawasan lapang, yang terletak di tepi jalan utama Putrajaya dan bukannya masjid.
"Bangunan di belakang yang terletak lebih kurang dalam lingkungan 1 kilometer ialah pejabat perdana menteri. Tengok betul-betul," katanya.
Graduan dari Taiwan itu turut mempersoalkan tindakan pilih kasih sesetengah pihak yang tidak mengambil tindakan terhadap produksi filem dari luar negara yang turut melakukan penggambaran di kawasan sama.
Katanya, sebarang komen dan kritikan yang dilakukan tidak mewakili mana-mana parti politik sebaliknya hanyalah pendapatnya sebagai seorang rakyat Malaysia.
"Semua idea dibuat diri saya sendiri tanpa dikawal atau melibatkan parti politik. Jika anda rasa saya adalah pengintip dari parti pembangkang, atau menerima duit dari mereka, maaflah kerana saya langsung tidak mengenali sesiapa dari pihak parti pembangkang.
"Padahal saya lebih mengenali mereka yang berasal dari parti pemerintah dan beberapa pegawai kerajaan. Ini kerana saya seorang seniman dan adakalanya perlu memohon di pejabat kerajaan, tetapi selalu ditolak," katanya.

