Penyanyi Hattan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Lagu Kebangsaan jika didapati berniat mempermainkan lagu "Negaraku" apabila tidak menyanyikannya mengikut versi rasmi lagu kebangsaan itu semasa Perlawanan Akhir Bola Sepak Piala Malaysia Sabtu lalu.

Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, beliau akan berbincang dengan Menteri Penerangan Datuk Seri Abdul Kadir Sheikh Fadzir mengenai dakwaan bahawa penyanyi tersebut tidak menyanyikan lagu kebangsaan itu dalam versi yang betul.

"Saya akan bekerjasama dengan Menteri Penerangan untuk mendapatkan lagu tersebut. Jika pihak tersebut menyanyikan atau menggurau-sendakan (Negaraku), kami akan bertindak di bawah Akta Lagu Kebangsaan," katanya di persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) yang mendakwa Hattan menyanyikan lagu "Negaraku" dalam versi yang salah pada perlawanan Akhir Bola Sepak Piala Malaysia Sabtu lalu dan perlu dikenakan tindakan.

"Menyanyi sebegini rupa mengkhianati negara dan bangsa. Harus dihukum dan dicampak ke laut. Kalau ini contoh yang dibawa oleh penyanyi, versi apa yang nak dipakai sebagai rasmi?" kata Mohamed.

Kempen Budi Bahas

Menjawab soalan Md Alwi Che Ahmad (BN-Ketereh) mengenai persediaan kementerian menghadapi pemikiran rakyat yang tidak lagi meletak nilai seni pada tahap yang boleh dipelihara, Rais berkata, kerajaan menyediakan strategi jangka pendek dan jangka panjang untuk mempersiapkan bangsa Malaysia yang berbudaya.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata, kementerian menggunakan pendekatan "membawa seni kepada rakyat" yang merangkumi persembahan, permainan tradisional, bahasa dan persuratan, nilai dan norma serta adat resam.

"Kempen Budi Bahasa Amalan Nilai Murni juga dilancarkan bagi membudayakan kehidupan seharian. Kempen ini akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun," katanya.

Rais berkata kerajaan juga menggubal Rang Undang-undang Warisan Negara bagi menjamin perlindungan, pemuliharaan dan memperkasakan khazanah warisan negara sama ada yang berbentuk ketara atau tidak ketara.

"Dengan adanya rang undang-undang yang khusus mengenai Warisan Negara, akan membolehkan kerajaan melindungi tempat bersejarah di negara kita dari pupus atau terhakis," katanya.