Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
BN Selangor ingatkan tentang 'Melayu paling lupa'

Tun Dr Mahathir Mohamad sememangnya sinonim dengan sajak ‘Melayu Mudah Lupa’ yang dicipta dan dipopularkannya sejak 17 tahun lalu.

Bagaimanapun, ungkapan itu kini dijadikan senjata pihak lawan untuk menyerang dan menyindir bekas perdana menteri itu.

Tanpa menyebut nama, Ketua Penerangan BN Selangor, Datuk Dr Mohamed Satim Diman mendakwa Pengerusi Pakatan Harapan itulah ‘Melayu paling lupa’.

“Orang Melayu pun kadang-kadang lupa hingga disebut Melayu mudah lupa tapi yang cakap Melayu mudah lupa itulah (Mahathir) yang paling lupa,” katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 50 penduduk Ladang Fermanagh, Sg Pelek, Kuala Langat, hari ini.

Terdahulu bekas Anggota Dewan Undangan Seri Serdang itu menyentuh soal perpaduan kaum yang dibina pemimpin terdahulu di antara masyarakat Melayu, India dan Cina

Satim bagaimanapun berkata suasana begitu sudah tidak wujud lagi pada hari ini.

“Dulu di ladang inilah kami anak kampung berpesta (berhibur). Kita tengok dulu orang kampung Jawa dan estet selalu kawan, bila duduk sebelah-menyebelah saya macam India, India macam saya (Jawa), kita sahabat.

“Tetapi tidak, sekarang tak ada lagi, kenapa tak ada lagi sekarang?" Soal Satim.

Kata Satim, situasi itu berlaku kerana rakyat kian lupa pada sejarah.

"Kita lupa kita punya sejarah dan bila kita lupa sejarah inilah jadinya. Melayu dengan India makin jauh dan tak bersama,” katanya.

Lupa sejarah negara

Satim berkata, ketiga-tiga kaum ini semakin lupa kepada nama pemimpin negara yang memperjuangkan perpaduan iaitu Tunku Abdul Rahman, Tun Sambanthan dan Tun Tan Siew Sin.

"Mereka (pemimpin BN terdahulu) sudah bawa sejarah yang cukup bagus untuk Malaysia tapi kenapa kita makin jauh? Kenapa orang India lupa apa yang Tun Sambathan cakap?” katanya.

Tambahnya, disebabkan itu rakyat hari ini sukar menerima perkara baik dilakukan kerajaan dan lebih percaya kepada pembangkang.

“Kita lupa sejarah hingga semua pecah-belah dan bila orang (kerajaan) cakap bagus tak mahu dengar tapi bila orang (pembangkang) cakap tak bagus kita dengar,” katanya.

Terdahulu Satim hadir ke siri Jelajah Kasih Negeriku Selangor yang merupakan siri program ‘touch point’ Penerangan BN Selangor bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Sepat, Kuala Langat yang terletak dalam Parlimen Sepang.

Pada siri jelajah itu penduduk Ladang Fermanagh menerima bantuan berbentuk pemeriksaan dan pemberian cermin mata secara percuma.

Mereka yang menerima bantuan terdiri daripada golongan warga emas yang mengalami masalah penglihatan dan kurang berkemampuan.

Turut diagihkan bantuan hamper makanan dan sejumlah wang tunai.

Lihat Komen
ADS