Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mat Sabu: Kenapa hanya AMANAH dituduh pecahkan Melayu?
Diterbitkan:  Feb 18, 2018 7:00 PM
Dikemaskini: 10:46 AM

Parti Amanah Negara (AMANAH) mempersoalkan kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menuduh parti itu memecahbelahkan umat Islam dan undi Melayu.

Presidennya Mohamad Sabu mempertikaikan mengapa hanya AMANAH sahaja yang membawa perpecahan kepada Melayu sedangkan PKR dan Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) juga akan menentang Umno dan PAS.

"Kenapa apabila AMANAH mahu bertanding melawan Umno dan PAS maka dikatakan membawa perpecahan kepada Melayu?

"PKR dan BERSATU juga akan menentang Umno dan PAS, adakah mereka juga dianggap membawa perpecahan kepada Melayu?.

"Kenapa pula apabila PAS mengisytiharkan bertanding di kerusi Parlimen Permatang Pauh yang disandang PKR, ia tidak dianggap sebagai membawa perpecahan kepada Melayu?" katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad berkata demikian mengulas kenyataan Abdul Hadi dalam Mingguan Malaysia yang mendakwa AMANAH wujud bagi memecahbelahkan umat Islam, undi Melayu dan memberi kemenangan kepada Umno pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“AMANAH wujud untuk memecahbelahkan umat Islam, undi Melayu dan bagi talian hayat kepada Umno untuk menang.

“Kalau benar AMANAH mahu lawan Umno, kenapa sibuk masuk kerusi PAS yang menjadi tradisi pertandingan Umno-PAS sejak puluhan tahun?,” Abdul Hadi dilaporkan sebagai berkata.

Anggota Parlimen Marang itu merujuk kepada rancangan AMANAH bertanding di 27 kerusi Parlimen yang sebahagian besarnya di kerusi PAS. PAS dikatakan mahu bertanding di 130 parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

Mohamad bagaimanapun berkata, pihaknya akan bersama Pakatan Harapan (HARAPAN) dan mempunyai agenda besar dalam melakukan reformasi institusi serta mewujudkan sebuah kerajaan yang mengamalkan urus tadbir yang baik.

Mohamad berkata, AMANAH tidak ada apa-apa persepakatan dengan PAS dan partinya akan bertanding di mana-mana sahaja tempat yang dipersetujui secara bersama dalam HARAPAN.

"Maka kita bertekad akan menentang Umno BN dan mana-mana pihak yang bersekutu dengannya dalam pilihan raya akan datang ini," katanya.

Lihat Komen
ADS