25 barangan baru diwarta barang kawalan
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal-Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan melaksanakan Skim Kawalan Harga meliputi 18 jenis barang bermula 15 Oktober ini sehingga Februari tahun depan, sempena musim perayaan yang akan disambut sepanjang tempoh itu.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal-Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan melaksanakan Skim Kawalan Harga meliputi 18 jenis barang bermula 15 Oktober ini sehingga Februari tahun depan, sempena musim perayaan yang akan disambut sepanjang tempoh itu.
Menterinya, Datuk Mohd Shafie Apdal berkata, senarai barang dan harga skim di bawah Akta Kawalan Harga 1946 yang telah dilaksanakan setiap tahun sejak tahun 2000 itu akan dibentangkan pada mesyuarat Kabinet, esok.
Di samping itu, 25 jenis barangan baru akan diwartakan sebagai barang kawalan sepanjang tempoh itu sebagai tambahan kepada 21 jenis barang sedia ada, katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan majlis perjumpaan bagi persediaan menghadapi musim perayaan tahun 2005/06 semalam.
Barang-barang yang sedia ada termasuk daging, telur ayam dan itik, bawang besar, bawang putih dan merah, cili termasuk cili kering, ikan, tepung beras dan pulut, kelapa biji dan parut, ubi kentang, bihun dan mee, sayur dan rempah ratus.
Menurut laporan Bernama, Shafie berkata, dengan menjadikannya barang kawalan, pegawai penguatkuasa akan dapat membuat pemeriksaan dengan menggunakan peruntukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
"Barang-barang ini perlukan pengawalan kerana pengguna perlu dilindungi dan tidak dibebani dengan kenaikan harga yang tidak terkawal tambah-tambah lagi apabila musim perayaan akan tiba dan berterusan sehingga tahun depan," katanya.
Dalam perjumpaan selama tiga jam itu, kementerian menerima maklum balas wakil syarikat pengeluar, pengedar dan pemborong dalam membuat persediaan bagi menentukan bekalan pelbagai barang kepada pengguna adalah mencukupi semasa musim perayaan akan datang.
Pemeriksaan dan pemantauan
Shafie berkata, pembekal dan agensi kerajaan memberi jaminan bekalan barang-barang asas adalah mencukupi bagi menampung permintaan pengguna.
Katanya, kementerian akan terus meningkatkan penguatkuasaan dengan membuat pemantauan dan pemeriksaan harga barang-barang terhadap semua premis perniagaan bagi mengesan peniaga yang tidak mematuhi arahan harga barangan.
Beliau memberi amaran bahawa kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana peniaga, peruncit atau pemborong yang menaikkan harga barang kawalan sewenang-wenangnya semasa musim perayaan ini.
Shafie berkata, kementerian juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan, polis, kastam dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi melaksanakan penguatkuasaan terhadap harga minyak dan diesel.
Sementara itu, dalam perjumpaan tersebut, Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH) menjangka permintaan bagi daging ayam meningkat antara 2.38 dan 9.52 peratus semasa musim perayaan berbanding hari biasa iaitu 8.4 juta ekor seminggu.
Menurut wakil jabatan itu, peningkatan permintaan ini dapat ditampung kerana anggaran bekalan ialah 9.2 juta ekor seminggu manakala bagi permintaan bekalan telur ayam mulai bulan Ramadan ini akan meningkat sebanyak enam peratus berbanding hari biasa kira-kira 19.5 juta biji sehari.
Namun, jangkaan bekalan 20.67 juta biji sehari dijangka dapat menampung peningkatan permintaan tersebut manakala bekalan daging lembu dan kambing juga adalah mencukupi.

