Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemuda PKR gesa Tariq Ramadan dibebaskan dari tahanan
Diterbitkan:  Feb 18, 2018 9:17 PM
Dikemaskini: 2:06 PM

Pemuda PKR (AMK) menggesa sarjana Islam terkemuka Dr Tariq Ramadan yang kini berdepan tuduhan rogol di Perancis agar dibebaskan daripada tahanan.

Menurut ketuanya Nik Nazmi Nik Ahmad, Dr Ramadan telah memberikan kerjasama bagi membantu siasatan namun ditahan sebelum dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan perbicaraan adil.

"Dr Ramadan kini berhadapan dengan tuduhan liar di Perancis.

"Kedua-dua pihak - Dr Ramadan dan pihak yang menuduhnya - mempunyai ruang di mahkamah nanti. Prinsip asas keadilan - tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah mesti dipertahankan.

"Tariq Ramadan mesti dibebaskan serta-merta," kata Nik Nazmi dalam kenyataannya.

Cendikiawan Islam yang berada dalam tahanan reman di Perancis itu kini dimasukkan ke hospital akibat sklerosis berbilang, menurut laporan media.

Profesor dari Universiti Oxford berusia 55 tahun itu dihantar ke hospital malam Jumaat lalu dan akan menjalani penilaian perubatan bebas untuk menentukan sama ada beliau akan kekal di penjara sebelum perbicaraan, atau sebaliknya.

Perbicaraan adil

Nik Nazmi turut menggesa perbicaraan dijalankan secara adil mengikut proses sewajarnya dan meminta media memberikan laporan yang adil terhadap kes itu.

"Pihak media sewajarnya tidak menghakiminya menerusi media dan melaporkan kes ini secara adil," jelasnya.

Ahli akademik warga Switzerland itu didakwa melakukan serangan seksual terhadap dua wanita dan ditahan oleh polis Perancis pada penghujung bulan lalu.

Ramadan, 56 tahun, sebelum ini bertegas menafikan dakwaan tersebut dan telah memfailkan laporan fitnah terhadap penulis Henda Ayari - salah seorang wanita yang menuduhnya. 

Mengulas mengenai sarjana berkenaan, Nik Nazmi berkata beliau mula diperkenalkan kepada profesor Pengajian Islam Kontemporari di Universiti Oxford itu sejak zaman universiti lebih sedekad lalu.

"Saya aktif di dalam Federation of Students Islamic Societies of UK and Ireland (FOSIS) dan Dr Ramadan menggariskan wawasan yang konsisten dan rasional tentang menjadi seorang Muslim yang baik dan selesa dengan dunia moden yang majmuk.

"Sejak itu saya membaca buku-bukunya dan mengikuti syarahannya. Pandangannya mengundang kritikan daripada orang Islam yang jumud di samping golongan anti-Islam di Barat," katanya.

Lihat Komen
ADS