Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
89 pelancong terkandas dalam kereta kabel Langkawi selamat

Lapan puluh sembilan daripada lebih 500 pelancong yang terkandas selepas kereta kabel Langkawi SkyCab mengalami masalah teknikal petang tadi selamat tiba di stesen di Oriental Village di Langkawi kira-kira 9.30 malam ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Datuk Azizan Noordin berkata 89 pelancong itu terkandas dalam kereta kabel apabila sistem mengalami kerosakan kira-kira 5.48 petang tadi.

“Tiga lagi kereta kabel membawa 18 pelancong sedang bergerak ke bawah selepas tersangkut kira-kira empat jam antara “middle station” dan base station,” kata beliau kepada Bernama malam ini.

Beliau berkata pasukan teknikal Panorama Langkawi Sdn Bhd, anak syarikat LADA dan pengendali sistem kereta kabel itu, terpaksa menggunakan usaha secara manual untuk menggerakkan sistem bagi kereta kabel tersebut turun ke base station.

“Pasukan teknikal mengandungi 12 orang bersama dua anggota bomba dan penyelamat telah berada di middle station untuk menggantikan sistem yang gagal berfungsi yang menjadi punca sistem itu mengalami kerosakan,” kata beliau.

Azizan berkata setakat pukul 10 malam, kira-kira 200 pelancong masih terkandas di middle station, yang terletak kira-kira 650 meter dari paras laut dan 300 lagi terkandas di upper station, kira-kira 708 meter dari parasc laut.

“InsyaAllah, sebaik sahaja kerja-kerja pemulihan dijalankan, baki pelancong boleh dibawa turun ke base station diharapkan sebelum tengah malam” kata beliau.

Mengenai keadaan pelancong yang tiba di base station, beliau berkata seorang pelancong pengsan tetapi sedar semula sebelum dibawa ke Hospital Langkawi untuk pemeriksaan lanjut.

“Yang lain dalam keadaan baik dan sesetengah nampaknya mengalami trauma sedikit selepas terkandas dalam kereta kabel dan tersangkut di awang-awangan setinggi beberapa ratus meter selama beberapa jam tetapi kami berusaha untuk menenangkan mereka dan memberi bantuan yang perlu,’ kata beliau.

Beliau berkata perkhidmatan kereta kabel itu tidak akan beroperasi selama satu hari esok untuk membolehkan siasatan menyeluruh dijalankan mengenai insiden. -Bernama

Lihat Komen
ADS