Naib Ketua Wanita Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata isu ketidakhadiran Datuk Seri Rafidah Aziz ke Parlimen adalah sesuatu yang melibatkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan tiada kena mengena dengan kepimpinan beliau dalam Pergerakan Wanita Umno.

"Namun begitu saya sebagai naib ketua Wanita Umno akan tetap memberi sokongan kepada ketua saya dan tidak akan membenarkan mana-mana pihak mengganggu gugat Pergerakan Wanita dan kedudukan beliau sebagai ketua," katanya.

Beliau berkata, Wanita Umno faham Rafidah berada di luar negara (di San Francisco, Amerika untuk satu misi perdagangan dan di Vientiane, Laos menghadiri Mesyuarat Menteri Ekonomi Asean minggu lalu) kerana menjalankan tugas dan tanggungjawab kerajaan bukan kerana ada urusan tidak rasmi.

"Ahli-ahli Parlimen harus faham sebab ketidakhadiran Rafidah ke Parlimen baru-baru ini adalah kerana tugas rasmi negara di Amerika Syarikat dan Laos," kata Shahrizat yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat kepada pemberita selepas melancarkan album "Hulurkan Cinta" di Kuala Lumpur semalam.

Menurut laporan Bernamam, beliau berkata, Wanita Umno berdiam diri sebelum ini kerana isu itu merupakan masalah dalaman kementerian Rafidah.

Shahrizat juga berkata, isu itu tidak akan menjejaskan kedudukannya dalam Wanita Umno kerana kepimpinannya adalah kuat dan mendapat sokongan padu daripada semua ahli.

"Tidak perlu untuk buat kenyataan setiap masa kerana kita tahu dia berada di sana untuk bekerja dan apa saja isu yang dia perlu jawab adalah mengenai kementeriannya. Kita melihat beliau dalam dua tugas yang berbeza iaitu sebagai menteri di kementeriannya dan sebagai Ketua Wanita Umno," kata Shahrizat.