Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hisham menteri 'bongkak', kata PKR
Diterbitkan:  Feb 19, 2018 9:44 AM
Dikemaskini: 1:48 AM

PKR menyifatkan Menteri Pertahanan Hishamuddin Hussein sebagai “sombong dan bongkak” kerana menolak teguran sekumpulan bekas pegawai tentera terhadap Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Naib Presiden PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata Hishamuddin sewajarnya rasional terhadap pandangan pihak yang lebih berpengalaman dan arif dalam bidang ketenteraan.

“Mereka bersuara kerana mereka inginkan yang terbaik kepada negara terutamanya pembangunan jati diri di kalangan generasi muda.

“Apakah kecaman yang dilakukan oleh Hishamuddin itu adalah satu gertakan kepada mana-mana anggota dan bekas perajurit jika mereka bersuara?” kata anggota parlimen Bukit Katil itu.

NGO pesara pasukan keselamatan Persatuan Patriot Kebangsaan (PATRIOT) pada 14 Februari lalu berkata akan menganjurkan bengkel untuk belia dan berikrar melakukan kerja yang lebih baik dalam menyemai semangat penyatuan dan cintakan negara (patriotisme) berbanding PLKN.

Anggota PATRIOT, Mejar (B) Ismail Jr Feisol yang turut hadir dalam sidang akhbar itu berkata kem PLKN sekarang dikendalikan 'seperti kem percutian' oleh jurulatih yang dipersoalkan semangat cintakan negaranya.

Merujuk kenyataan itu, Hishammuddin mempersoalkan niat NGO itu dalam mengkritik usaha kerajaan itu.

"Bagi seseorang yang tidak memberikan cadangan, saya fikir tindakan mereka membangkitkan isu ini pada masa ini adalah dwistandard," katanya.

PATRIOT terkenal sebagai sebuah NGO pesara tentera yang aktif tetapi lantang bersuara terhadap kerajaan.

Dalam kenyataan hari ini, Shamsul berkata kenyataan Hishamuddin itu pastinya mengguris hati para bekas perajurit dan merendahkan jasa dan bakti mereka mempertahankan keamanan negara.

“Pesan saya kepada Hishamuddin jangan perlekeh suara bekas tentera!” katanya.

Lihat Komen
ADS