MCA ambil semula kerusi Umno di Gelang Patah
Ketua Bahagian MCA Gelang Patah Jason Teoh dijangka bertanding sebagai calon parti itu bagi kerusi parlimen dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14, kata Timbalan Presden MCA Wee Ka Siong.
The Star memetik Wee sebagai berkata MCA "tidak boleh melihat sesiapa selain Teoh" bagi merebut kerusi DAP yang disandang ketua parlimennya Lim Kit Siang.
"Dia (Teoh) popular dan digemari masyarakat Cina, India dan Melayu di Gelang Patah dan selalu berada di dalam kawasan ketika diperlukan," Wee dilapor berkata ketika majlis rumah terbuka MCA di SJKC Yong Peng 1, Ayer Hitam semalam.
Wee, yang juga merupakan pengerusi MCA Johor berkata, Teoh dikenali di Gelang Patah kerana sudah berkhidmat kepada penduduk di kawasan itu sekian lama.
Meskipun kerusi Gelang Patah sebelum ini ditandingi bekas menteri besar Johor Tan Sri Abdul Ghani Othaman pada 2013, Wee menjelaskan bahawa Teoh sentiasa aktif di kawasan itu.
Tambahnya, Menteri Besar Johor Datuk Seri Khaled Nordin dan Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein turut sependapat bahawa Teoh merupakan calon terbaik bagi kerusi parlimen Gelang Patah.
"Ini menunjukkan Umno juga mempunyai keyakinan terhadap Teoh," kata Wee.
Pada 2013, tokoh Umno Abdul Ghani kalah kepada Lim dengan majoriti 14,762 undi.
MCA mempertahankan kerusi itu pada 2008 selepas berjaya mengalahkan calon PKR pada 2008.

