Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
MCA: Kit Siang kini peluk Mahathir, gemar melompat

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai bersedia untuk menghadapi Penasihat DAP, Lim Kit Siang jika benar Anggota Parlimen Gelang Patah itu berhajat untuk bertanding di kerusi Parlimen Bentong pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Liow berkata sebagai seorang wakil rakyat yang telah melakukan tugas dengan cemerlang di kawasan itu sejak 1999, beliau yakin sokongan pengundi di kawasan itu tidak akan goyah daripada terus menyokongnya.

“Lim Kit Siang sebagaimana yang kita tahu dia memang gemar melompat dari satu tempat ke satu tempat lain… dulu di Pulau Pinang, kemudian ke Gelang Patah (Johor), semuanya tidak bertahan lama sebab dia tidak memberikan perkhidmatan dengan baik.

“…sebab itu kita tak peduli mana dia nak pergi, dia nak datang (bertanding)) di sini pun tidak mengapa. Kita sedia hadapi sesiapa jua yang datang ke Bentong kerana kita mempunyai rekod pencapaian yang baik.

“Bagi penduduk di sini mereka tahu siapa wakil rakyat yang beri perkhidmatan dan kerja keras untuk mereka,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program sambutan Tahun Baharu Cina Rumah Pangsa Batu 1, Jalan Tras, di Bentong, Pahang hari ini.

Menurut Liow, rakyat kini semakin sedar Kit Siang sahaja gagal melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat di kawasan yang dimenanginya, tetapi juga tidak mempunyai pendirian tetap dalam politik.

“Dia juga tidak ada prinsip, parti dia (DAP) dengan Tun Dr Mahathir Mohamad tidak berpegang dengan prinsip perjuangan. Mereka lebih kepada ‘marriage of convenience’ (kahwin kontrak) untuk dapatkan sokongan rakyat.

“Rakyat pun rasa keliru, bagaimana Lim Kit Siang yang sudah marah Dr Mahathir lebih 22 tahun, kini sudah boleh peluk Dr Mahathir dan bagaimana Dr Mahathir juga boleh berbuat perkara yang sama. Mereka (rakyat ) rasa hairan bagaimana hal ini boleh terjadi.

“Ini merupakan sandiwara semata-mata… dekat-dekat dengan pilihan raya mereka cuba dapatkan sokongan rakyat, kedua-dua puji memuji antara sama untuk bersihkan imej sebelum ini,” katanya

Liow berkata rakyat terutama di kawasan Bentong sudah muak dengan politik seperti itu, sebaliknya mengharapkan satu kerajaan yang stabil dan mampu meneruskan pembangunan demi dapat menjamin masa depan mereka.

Katanya, menerusi kerajaan Barisan Nasional (BN), Bentong telah mengalami pembangunan yang pesat termasuk dalam bidang pelancongan dan pertanian.

“Bentong menikmati pembangunan ini kerana kita ada kerajaan yang stabil dan kita telah rancang untuk giatkan lagi pembangunan untuk tempoh lima hingga 10 tahun akan datang termasuk pembinaan Lebuh Raya Utama Tengah dan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

“Kita juga ada industri pelancongan yang hebat, selain produk pertanian seperti Durian Musang King dan Halia Bentong yang dapat dipasarkan sehingga ke peringkat antarabangsa. Kalau kerajaan tak kuat maka kita kita tidak dapat melaksanakan pembangunan ini secara berterusan,” katanya.


-Bernama

Lihat Komen
ADS