Paling Popular
Terkini

Anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar menafikan dia bakal bertanding di kerusi Pandan pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 ini.

"(Ia) spekulasi semata-mata," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Nurul Izzah yang juga naib presiden PKR itu berkata, isu berkaitan kerusi yang akan ditandinginya akan diputuskan oleh parti.

Anak kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail itu bagaimanapun berkata, dia akan mematuhi apa yang diputuskan oleh PKR.

Ditanya sama ada dia akan mempertahankan kerusi Lembah Pantai yang dimenang sejak 2008 - kecuali diputuskan sebaliknya oleh kepimpinan parti - Nurul Izzah menjawab: "Ya."

Menjelang PRU ke-14 yang mesti diadakan selewat-lewatnya Ogos ini, pelbagai spekulasi bertiup mengenai masa depan anggota parlimen daripada pelbagai parti.

Seperti selalu tokoh utama sesebuah parti mencuri lebih banyak tumpuan, terutama apabila PRU akan datang akan menggunakan persempadanan baru kawasan pilihan raya.

Jika diluluskan parlimen kawasan Lembah Pantai bakal menyaksikan pertambahan pengundi yang ketara berbanding PRU ke-13. Antara lain disebabkan sebahagian daripada pengundi di Bukit Aman dibawa masuk ke Lembah Pantai.

Nurul Izzah mula bertanding di Lembah Pantai pada 2004 namun kecundang di tangan Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dengan majoriti 15,288 undi.

Empat tahun kemudian Nurul Izzah bertanding sekali lagi di situ dan mengetepikan Shahrizat dengan kelebihan 2,895 undi.

Pada 2013 Shahrizat tidak bertanding di situ dan BN diwakili Ketua Umno Lembah Pantai Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin. Nurul Izzah mempertahankan kerusi berkenaan walaupun majoritinya berkurangan menjadi 1,847 undi.

Hari ini portal The Malaysian Insight mendakwa PKR memutuskan bahawa Nurul Izzah lebih sesuai diletakkan di kawasan bandar seperti Pandan.

Kerusi Pandan kini diwakili seorang lagi naib presiden PKR, Rafizi Ramli. Namun Rafizi sudah disabitkan bersalah oleh mahkamah dan hukuman yang ditetapkan menyebabkan dia tidak layak bertanding semula.

Rafizi memenangi kerusi Pandan pada 2013 dengan majoriti 26,729 undi, mengalahkan calon BN, Lim Chin Yee, serta calon bebas Tan Yew Leng.

Sementara itu Rafizi berkata dia tidak tahu menahu mengenai langkah yang didakwa itu.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS