Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'3 hari untuk 7 negeri selesai rundingan kerusi'

Komponen parti Pakatan Harapan (HARAPAN) di tujuh daripada 11 negeri mempunyai tiga hari saja lagi bagi menyelesaikan rundingan agihan kerusi bagi pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Pengerusi HARAPAN Tun Dr mahathir Mohamad ketika bercakap dalam satu sidang media di ibu pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkata negeri yang gagal menyelesaikan rundingan sebelum Jumaat ini perlu merujuk perkara itu kepada kepimpinan pusat.

"Kita dah selesai berkenaan dengan (kerusi) parlimen. Tapi berkenaan dengan kerusi negeri ini masih ada beberapa kawasan yang tidak dapat dipersetujui antara parti-parti.

"Kita telah tentukan, kalau tak dapat selesai pada Jumaat ini, mereka perlu beritahu kepada ibu pejabat dan perkara itu akan dibawa kepada majlis presiden untuk ditentukan di peringkat pusat.

"Keputusan itu mesti diterima oleh semua pihak," katanya.

Diminta mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata: "Yang dah selesai ada empat buah negeri. Tapi saya tak boleh bagitau lah (negeri yang mana)."

Sementara itu, Dr Mahathir juga mendedahkan bahawa HARAPAN sedang di peringkat akhir dalam memuktamadkan manifesto PRU14 dengan 60 janji ditawarkan untuk rakyat.

Dalam proses itu katanya, majlis presiden HARAPAN maklum bahawa terdapat pemimpin individu yang membuat janji tertentu dan keputusan akhir mereka tidak akan dipengaruhi janji-janji pemimpin berkenaan.

"Kita tidak terikat dengan kenyataan yang dibuat pemimpin tertentu sekiranya kita mendapati bahawa realitinya kita tidak boleh memenuhi janji-janji itu apabila mendirikan kerajaan persekutuan.

"Jadi sekarang kita membuat pindaan ke atas manifesto bagi memastikan kita boleh memenuhi setiap janji yang kita tawarkan," kata Dr Mahathir.

Dr Mahathir turut menjelaskan, kerajaan HARAPAN selepas PRU ke-14 akan berdepan dengan kekangan kewangan kerana terpaksa mewarisi hutang daripada pentadbiran BN di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika ini.

"Justeru, kita berpendapat bahawa kewangan kerajaan mungkin tidak mampu menampung janji yang berlebihan dan kita hanya menawarkan janji yang boleh kita penuhi.

"Kita akan umumkan manifesto itu tidak lama lagi," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS