Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Fahmi Reza nak jual imej badut untuk bayar denda
Diterbitkan:  Feb 20, 2018 9:19 PM
Dikemaskini: 1:58 PM

Dijatuhi hukuman penjara selama sebulan dan denda RM30,000 kerana 'membadutkan' wajah perdana menteri tidak menjadikan pereka grafik Fahmi Reza gentar atau serik.

Sebaliknya, Fahmi atau nama sebenarnya Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin, 40 berkata beliau akan memfailkan permohonan bagi mencabar keputusan Mahkamah Sesyen Ipoh itu.

"Aku tak setuju dengan keputusan hakim dan hukuman penjara dan denda yang dijatuhkan ke atas aku dan akan melawan.

"Aku dah failkan permohonan untuk cabar keputusan ini di Mahkamah Tinggi Ipoh.

"Lepas 4 jam duduk dalam lokap, aku dah dibebaskan dari lokap Mahkamah Ipoh dengan ikat jamin RM10,000," katanya menerusi catatan di Facebook.

Menurut Fahmi, meskipun hukuman penjara terhadapnya ditangguhkan sementara menunggu rayuan, beliau perlu membayar denda sebanyak RM30,000.

"Kalau aku tak bayar, aku akan dihukum penjara 6 bulan.

"Kata orang tua-tua, berani buat berani tanggung. Walaupun aku yang design muka badut ni, tapi kita semua sama-sama sebarkan dan viralkan imej protes yang mengkritik korupsi penguasa ini di merata tempat, online dan offline. Kita semua, penghasut," katanya.

Justeru, Fahmi berhasrat menjual dan menyebarkan imej badut berkenaan bagi mengumpul dana untuk membayar denda yang dikenakan terhadapnya.

Malah beliau juga bertanya kepada rakan-rakannya di media sosial sama ada mereka akan menyokong kempen itu.

"Kalau aku buat kempen crowdfunding jual t-shirt badut penghasut (design baru), metal pin muka badut, stickers muka badut dan stuff muka badut lain untuk collect duit untuk bayar denda ni, siapa kat sini yang akan support?

"Mereka nak hukum kita sebab sebarkan imej ni. Apa kata kita sebarkan lagi? #KitaSemuaPenghasut," tulisnya.

Terdahulu, Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini menjatuhkan hukuman bersalah terhadap Fahmi kerana memuat naik gambar mengaibkan perdana menteri bersama logo Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) di akaun Facebooknya dua tahun lalu.

Hakim Norashima Khalid menjatuhkan hukuman penjara sebulan dan denda RM30,000 terhadap Fahmi.

Hakim tidak memberikan alasan berhubung keputusannya, kecuali mengatakan pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dalam kes itu.
 

Lihat Komen
ADS