Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Pulau Pinang kini perlu melihat semula dan meminda tafsiran sejarah Fort Cornwallis yang berusia 232 tahun sebagai tapak yang aman, berikutan penemuan pada hari Isnin lalu dua meriam lama yang berusia kira-kira 200 tahun.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang teruja ketika melawat tapak itu semalam, menyifatkan penemuan penting itu sebagai "angpow berganda", kerana ia berlaku semasa tempoh Tahun Baru Cina di Pulau Pinang, yang bermula pada 16 Februari.

Sambil menegaskan bahawa penemuan meriam berkembar itu sebagai tidak diduga, Lim berkata, ahli arkeologi negeri, Prof Datuk Mokhtar Saidin, yang pasukannya menemuinya pada jam 2 petang hari Isnin, telah menentukan usia artifak itu sekurang-kurangnya 200 tahun.

Terdapat padanya tanda dan simbol 'GR', yang dikenali sebagai King George III dari Britain yang memerintah dari tahun 1760 hingga 1820.

George III dikenali kerana telah kehilangan jajahan Amerika dalam Perang Kemerdekaan yang berakhir dengan kebebasan negara itu dari pendudukan British pada 4 Julai 1776.


 

Sambil mengucapkan tahniah atas penemuan itu, Lim berkata Mokhtar telah dilantik sebagai ketua arkeologi Pulau Pinang bulan lepas dan negeri itu merupakan perintis dalam inisiatif tersebut.

"Sekarang, anda tidak hanya mempunyai Guar Kepah untuk dikaji, tetapi juga meriam ini," kata Lim kepada Mokhtar, merujuk kepada tapak arkeologi pertama di negeri itu di Seberang Perai Utara, di mana penempatan manusia prasejarah yang berusia 6,000 tahun ditemui setakat 1860.

Tapak warisan dunia Unesco

Lim berkata semasa zaman penjajahan British, semua kubu dan kota dikelilingi parit - lubang yang luas, sama ada kering atau dipenuhi air.

Beliau menyatakan bahawa parit mengelilingi Fort Cornwallis, yang terletak di kawasan yang diketahui hari ini sebagai The Esplanade, atau Padang Kota Lama, tidak begitu dalam, hanya sedalam kira-kira satu meter.

Beliau berkata pihaknya mahu memulihkan kota itu kepada keadaan asalnya.

Menurutnya, meriam ini tidak direkodkan dalam peta yang diketahui sebelum ini.

"Sebab itulah ia satu penemuan penting bagi Pulau Pinang, sejarah kita dipenuhi dengan penemuan sedemikian dan kami harap ada lebih banyak lagi," katanya.

Lim berkata pentadbirannya akan memastikan keselamatan artifak itu untuk mengelak ia daripada dicuri.

"Kami akan pastikan ia dilindungi, manakala penggalian oleh pasukan Mokhtar akan menentukan sama ada terdapat sebarang artifak lain," kata Lim.

Untuk memulihkan kegemilangan Fort Cornwallis, kerajaan Pulau Pinang bekerjasama dengan Think City Sdn Bhd dan Aga Khan Trust for Culture.

Ia adalah satu inisiatif di bawah Perbadanan Pembangunan Pemuliharaan George Town, sebuah badan pelaksanaan projek ekoran Pelan Kawasan Khas George Town.

Lihat semula tafsiran sejarah

Sementara itu, Mokhtar berkata pasukannya dari Universiti Sains Malaysia telah menjalankan kerja penggalian di tapak itu sejak tahun lepas.

Menurutnya, mereka sedang mencari pintu utama ke kubu itu apabila mereka menjumpai meriam-meriam itu.

Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global Universiti Sains Malaysia itu berkata kedua-duanya mempunyai simbol Raja George, tetapi dalam peta sejak 1877, tidak ada tanda-tanda tentang meriam itu.


 

Oleh itu, tambahnya, ia semestinya lebih terkemudian dari itu tetapi masih berusia sekitar 200 tahun.

"Buat masa ini, kita tahu panjang meriam, masing-masing berukuran 2.2m dan 2.35m, kita tahu era khusus tetapi lebih banyak kajian perlu dilakukan untuk mengetahui lebih banyak maklumat tentangnya," tambahnya.

Mokhtar berkata ketua menteri telah memberi kebenaran kepada pasukan itu untuk membawa meriam itu ke USM untuk pemeriksaan lanjut.

Beliau menambah bahawa penemuan itu mempunyai implikasi pada prasasti awal Fort Cornwallis sebagai tapak yang aman.

Katanya, mereka perlu melihat semula dan menulis semula catatan mengenai kubu itu selepas melakukan pemeriksaan menyeluruh terhadap artifak itu.

Kedua-dua Lim dan Mokhtar mengucapkan tahniah kepada ahli arkeologi muda - satu pasukan yang terdiri daripada tiga orang wanita muda yang menemui meriam itu.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS