Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang membantah tindakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz yang bergegas keluar meninggalkan Dewan Rakyat apabila sesi soal-jawab berakhir pada jam 11.20 pagi tadi.

Lim membuat bantahan itu ketika bangun menyambung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2006.

"Tengok Yang Berhormat menteri tinggalkan dewan kerana dia tahu saya nak cakap pasal isu itu. Tapi dia lari keluar, saya minta dia balik (ke Dewan) dan dengar apa yang dikatakan oleh Anggota Parlimen," katanya.

Rafidah terus berjalan menuju ke pintu keluar dan meninggalkan bangunan Parlimen sekalipun diserbu sekumpulan wartawan dan jurugambar.

Bagaimanapun, Bernama menyifatkan kehadiran Rafidah di Dewan Rakyat pagi ini sebagai 'anti-klimaks' walaupun beliau orang yang menjadi sasaran dan ditunggu-tunggu, muncul pagi ini.

Menurut laporannya, jika ada yang mengharapkan kehadiran Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz akan mengundang sesuatu ledakan, pastinya berasa kecewa dengan apa yang berlaku hari ini.

Manakan tidak, sejak kementerian itu mengeluarkan senarai nama ahli Parlimen yang menerima permit import kenderaan pada 20 September lalu, Rafidah telah dikecam hebat oleh ahli Dewan Rakyat, termasuk dari Barisan Nasional sendiri, yang mahu beliau hadir ke Parlimen bagi memberi penjelasan.

Ini mendorong kabinet mengarahkan agar beliau hadir ke persidangan Dewan Rakyat untuk menjelaskan isu itu.

Rafidah, yang berada di luar negara kerana urusan rasmi ketika isu mengenainya hangat dibangkitkan, hadir pagi ini dan mengambil masa 45 minit untuk menjawab enam soalan berkaitan AP, iaitu satu soalan asal dan lima soalan tambahan termasuk tiga yang diizinkan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Dr Yusof Yacob.

Menurut laporan Bernama lagi, semasa mengemukakan soalan asal Datuk Wan Hashim Wan Teh (BN-Grik) bermula dengan kiasan:

"Kami ibarat pungguk rindukan bulan

"Yang Berhormat menteri sebagai Permaisuri Lindungan Bulan

"Apabila bulan mengambang, dia bersembunyi di balik awan

"Maka gelaplah malam. Izinkan Grik kemukakan soalan.

Ini disambut dengan tepukan ahli Parlimen dan mengundang senyuman daripada Rafidah yang membalas: "Terima kasihlah atas sambutan tadi. Sebenarnya Permaisuri ini bila tak datang tiga hari pertama Dewan Rakyat ialah kerana saya bertugas di Amerika Syarikat.

'Atas urusan kabinet'

"Ada dua ahli Dewan Rakyat bersama mengikut saya (disambut suasana riuh rendah ahli Parlimen). Ini kena jelaslah. Saya tidak lari dan saya bertugas dan semua atas urusan yang telah diluluskan oleh Kabinet."

Selain Wan Hashim, yang turut mengemukakan satu soalan tambahan itu, Rafidah juga menjawab soalan tambahan daripada Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur), Datuk Seri Tiong King Sing (BN-Bintulu), Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar (BN-Larut) dan Datuk Mohd Said Yusof (BN-Jasin).

Rafidah, yang mula menjawab pada jam 10.15 pagi, menghabiskan jawapannya pada jam 11 pagi menyebabkan Menteri Kerja Raya Datuk Seri S. Samy Vellu, yang menunggu gilirannya menjawab soalan seterusnya, menyangka beliau tidak perlu berbuat demikian kerana tempoh sesi soal jawab telah berakhir.

"Saya ingat lain kali hanya satu menteri datang satu hari jawab soalan, jadi menteri lain tak payah datang," katanya ketika bangun untuk menjawab soalan berkenaan.

Speaker kemudian membenarkan satu lagi soalan, yang juga berkaitan kementerian Rafidah, dikemukakan oleh Loh Seng Kok (BN-Kelana Jaya) berkaitan program-program dalam Pelan Induk Perindustrian Ketiga.