Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiada pengumuman khas PM hari ini
Diterbitkan:  Feb 21, 2018 12:16 PM
Dikemaskini: 4:49 AM

Meskipun pilihan raya umum ke-14 dijadualkan berlangsung tidak lama lagi, maklumat tidak tepat mula disebarkan di media sosial kononnya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan menyampaikan "pengumuman khas" secara langsung di televisyen.

Khabar angin itu mencetuskan spekulasi bahawa Parlimen akan dibubarkan hari ini.

Namun semakan oleh Malaysiakini dengan beberapa sumber mengesahkan bahawa tidak ada pengumuman seperti itu hari ini.

Seorang pegawai perdana menteri ketika dihubungi oleh Malaysiakini, menafikan Najib dijadualkan  membuat "pengumuman khas" hari ini.

Sementara itu, Astro Awani turut mengesahkan bahawa paparan skrin berhubung pengumuman khas dengan logonya yang disebarkan itu adalah dari paparan skrin dari visual lama pada tahun 2013.

Awal bulan ini, satu lagi mesej di media sosial yang disebarkan mendakwa bahawa parlimen akan dibubarkan pada 22 Februari ini.

Setakat ini, belum ada petanda yang jelas bila Parlimen akan dibubarkan. Najib secara teknikal boleh menunggu sehingga 24 Jun untuk pembubaran parlimen secara automatik bagi PRU-14.

Namun, pertimbangan lain adalah bahawa Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan dibebaskan dari penjara pada 9 Jun. Ramai pemerhati politik percaya BN tidak akan menunggu sehingga Anwar dibebaskan sebelum membubarkan parlimen.

Ada juga akhbar Cina yang meramalkan Najib berkemungkinan akan membubarkan Parlimen seawal akhir Februari, bagi pilihan raya umum diadakan pada bulan Mac atau April.

Mereka turut membuat spekulasi bahawa pilihan raya tidak akan diadakan lebih lewat daripada 17 Mei - permulaan bulan Ramadan.

 

Lihat Komen
ADS