Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tan Lian Hoe calon Gerakan bagi DUN Jalong
Diterbitkan:  Feb 21, 2018 2:40 PM
Dikemaskini: 6:42 AM

Ketua Wanita Gerakan Datuk Tan Lian Hoe diumum sebagai calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jalong di Sungai Siput pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14).

Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong berkata beliau memberi sepenuh kepercayaan dan keyakinan kepada Tan untuk mewakili Barisan Nasional (BN) bagi merampas kembali kerusi berkenaan yang dimenangi DAP pada PRU13.

"Kerusi DUN Jalong merupakan kerusi Gerakan, walaupun kita kalah (pada PRU13) tetapi kita telah berkhidmat sejak empat tahun lepas di Jalong dan beliau (Tan) sentiasa bekerja keras untuk memenangi semula hati pengundi di kawasan tersebut.

"Kita mempunyai keyakinan untuk merampas kembali kerusi itu walaupun pada PRU13 kita kalah dengan majoriti yang agak besar, bagaimanapun menerusi semangat dan kerjasama antara parti komponen BN, saya pasti kita mempunyai peluang yang cerah dan kerusi itu akan menjadi milik BN semula," katanya.

Mah, yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Gerakan peringkat negeri Perak di Sungai Siput yang turut dihadiri Menteri Besar Perak Datuk Seri Zambry Abdul Kadir serta 3,000 hadirin.

Mah berkata beliau telah mengemukakan nama calon bagi kerusi tersebut kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan menyerahkan sepenuhnya soal pemilihan calon PRU14 untuk parti itu kepada Najib selaku Pengerusi BN.

Tan merupakan bekas Anggota Parlimen Gerik serta Bukit Gantang dan pernah memegang jawatan Timbalan Menteri Penerangan dan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Pada PRU13, DUN Jalong dimenangi Loh Sze Yee daripada DAP menewaskan calon BN Liew Yew Aw dengan majoriti 6,769 undi manakala Parlimen Sungai Siput kini dipegang Michael Jeyakumar Devaraj daripada PKR.

Bagaimanapun, DUN Lintang, juga dalam parlimen Sungai Siput, diwakili Datuk Dzolkafly Harun daripada BN yang menang dengan majoriti 3,977 undi.

- Bernama

 

Lihat Komen
ADS