Ong sekeluarga dipelawa tinggal di flat kos rendah
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting dan keluarganya dipelawa tinggal selama sebulan di rumah pangsa untuk merasai sendiri kehidupan di kawasan perumahan kos rendah.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting dan keluarganya dipelawa tinggal selama sebulan di rumah pangsa untuk merasai sendiri kehidupan di kawasan perumahan kos rendah.
Pelawaan itu dibuat pertubuhan bukan kerajaan yang dikenali sebagai Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit). Di dalam kenyataannya, Jerit menawarkan kepada Ong (foto) sebuah unit di flat Bukit Subang, Selangor.
Menurut Jerit, pengalaman tinggal di rumah pangsa itu diharap akan membantu menteri berkenaan merancang perumahan alternatif yang lebih baik.
Jerit menegaskan, rakyat berpendapatan rendah bukan hanya mahukan "bumbung di atas kepala" tetapi kehidupan yang selesa dan selamat.
Katanya, kebanyakan rumah yang dibina di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) mempunyai ketinggian di antara 18 dan 21 tingkat dan dua bilik tidur untuk menempatkan setinggan dengan kadar sewa RM124 sebulan.
PPR yang mempunyai keluasan antara 400-700 kaki persegi ini dibina di Desa Tun Razak, Cheras, Tun Aminah Johor, Permai Indah, Pulau Pinang, Kinta Height dan Taman Permata, kedua-duanya di Ipoh.
Keluasan tersebut amat kecil sedangkan keluarga yang berpendapatan rendah biasanya mempunyai anak yang ramai.
OKU,warga tua diabaikan
Selain itu, Jerit juga mendakwa, pembinaan flat kos rendah(FKR) juga sering mengabaikan keselesaan dan keselamatan penduduk termasuk orang kurang upaya (OKU) dan warga tua. FKR setinggi empat dan lima tingkat biasanya tidak menyediakan kemudahan lif.
Jerit juga mendakwa, persekitaran kawasan flat tidak sesuai untuk membina keluarga yang sihat dan bahagia kerana keadaan rumah yang kotor dan terabai dan sistem pengurusan yang tidak berkesan.
"Tangga dan koridor biasanya gelap dan tidak selamat, lif selalu rosak, masalah sosial dan sistem pembetungan yang tidak terurus menyebabkan bau busuk," katanya.
Menurut pertubuhan itu lagi, kebanyakan flat seperti di Bukit Subang dan Sungai Long di Selangor, dibina jauh dari pusat bandar, sedangkan golongan berpendapatan rendah banyak bergantung kepada pengangkutan awam.
Selain itu, katanya, terdapat juga flat yang tidak selamat untuk diduduki dan sesetengahnya tidak mendapat sijil layak duduk (CF) seperti Taman Permata di Dengkil, Selangor.
Langkah kerajaan menyerahkan pembinaan rumah PPR kepada sektor swasta juga, kata Jerit, dikhuatiri akan menjejaskan pembinaannya.
Jerit mendakwa, tindakan kerajaan itu bercanggah dengan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan hasrat untuk menyediakan perumahan yang berkualiti dan mampu dibayar oleh rakyat berpendapatan rendah dan sederhana.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.