Rafidah mahu saman Kit Siang
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Rafidah Aziz hari ini berkata beliau akan menyaman Ketua Pembangkang Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) kerana membuat kenyataan berunsur fitnah terhadap dirinya dan keluarga beliau.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Rafidah Aziz hari ini berkata beliau akan menyaman Ketua Pembangkang Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) kerana membuat kenyataan berunsur fitnah terhadap dirinya dan keluarga beliau.
Rafidah, yang jelas marah dengan Lim kerana mendakwa berlaku penyelewengan dalam pengagihan permit import (AP) membabitkan menantunya, berkata beliau tidak boleh bersabar lagi apabila Ketua Pembangkang itu mempertikaikan integriti beliau dan keluarga.
"Saya nak kata kalau Yang Berhormat buat tuduhan macam ini, saya rasa ini menyentuh peribadi saya. Saya tak nak integriti saya dicabar, saya tak nak integriti saya disentuh, saya seorang yang berpegang kepada sumpah jawatan saya. Jangan sekali-kali Yang Berhormat pandang serong ke atas integriti saya.
"Dan saya nak sebut di dewan yang mulia ini, saya tidak ada kaitan secara langsung atau tidak langsung dengan mana-mana pemegang AP kerana ini semua ditadbir oleh sebuah jawatankuasa yang diketuai oleh Ketua Setiausaha saya sendiri.
"Dan kita sangat bermegah dengan integriti kita (dalam) melaksanakan apa yang dikehendaki oleh kerajaan dan dewan yang mulia. Jadi Yang Berhormat jangan seronok bercakap celupar mulut di sini. (Bagi) saya, kalau (nak) kata (hal) lain, katalah...tapi jangan dicabar integriti saya dan jangan dicabar integriti keluarga saya," katanya dengan suara penuh emosi.
Menurut laporan Bernama , dalam soalan tambahannya sebelum itu, Lim meminta Rafidah menjelaskan dakwaan berkaitan saham yang dipegang oleh menantu beliau dalam sebuah syarikat yang diberikan AP.
Kemuka usul
Rentetan kenyataan Rafidah untuk menyamannya membuatkan Lim bangun sekali lagi untuk mengemukakan usul meminta dirinya sendiri dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan berdasarkan peraturan mesyuarat 26 (1)(p).
"Saya serius. saya tak buat fitnah dan apa yang saya tanya itu Yang Berhormat Menteri patut jawab khususnya mengenai saham menantu Yang Berhormat menteri. Saya minta Ipoh Timur (dirinya sendiri) dirujukkan kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan," kata Lim.
Usul Lim itu ditolak oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Dr Yusof Yacob yang berkata ia tidak perlu kerana Rafidah telah hadir untuk menjawab isu berbangkit.
Peraturan mesyuarat membolehkan seseorang ahli Parlimen menggunakan `imuniti' untuk menyuarakan pandangan tanpa dikenakan tindakan undang-undang termasuk dakwaan fitnah dan sebagainya, serta juga membolehkan sesuatu perkara yang dibangkitkan itu disiasat.
Lim cuba membantah dengan mengatakan alasan menteri datang menjawab tidak boleh diterima kerana ada menteri yang datang setiap hari untuk menjawab soalan, sedangkan Rafidah jarang muncul.
Terdahulu semasa bangun mengemukakan soalan tambahannya, Lim berkata: "(Kehadiran Rafidah hari ini adalah) hari ke-31 dalam enam tahun (bersamaan) 400 hari (dewan bersidang). Saya harap kelakuan buruk ini...menteri tak hadir di Parlimen akan diberhentikan, sehingga perlu
diarah oleh Kabinet datang ke Parlimen."
Menjawab soalan Lim mengenai rasional di sebalik pengagihan AP kepada anggota Parlimen, Rafidah berkata adalah keputusan Kabinet berdasarkan permintaan daripada anggota Kelab Penyokong Kerajaan.
"Dan Kabinet sendiri memutuskan supaya AP dikeluarkan seorang satu (kepada ahli Parlimen) semasa dalam penggal berkhidmat dan untuk kegunaan sendiri.
Hak ahli Parlimen
"Saya tak ada kuasa nak memberi AP kepada sesiapa secara individu. Ini adalah keputusan Kabinet, ada rekod dalam minit mesyuarat, jadi jangan Yang Berhormat fikir yang bukan-bukan," katanya bagi menafikan dakwaan Lim kononnya pemberian AP itu adalah untuk beliau mendapatkan sokongan ahli Parlimen.
Menjelaskan mengenai isu pendedahan senarai nama ahli Parlimen yang menerima AP pada 20 September lalu, Rafidah berkata, beliau dan pegawai-pegawai kanan dalam kementerian tidak tahu-menahu mengenai perkara itu.
Malah, katanya, pegawai yang bertanggungjawab mengeluarkan senarai itu juga tidak dapat menjelaskan sebab senarai itu dikeluarkan.
"Ada kawan-kawan di sini beranggap kononnya saya sengaja keluarkan untuk beli sokongan. Tidak. Kami tidak tahu. Sebenarnya dari segi logik, tidak ada masalah keluarkan senarai AP untuk MP (ahli Parlimen), tapi saya tidak suka kalau senarai itu dikeluarkan dengan tidak tepat, tidak betul sehingga mengelirukan.
"Kalau betul nak dikeluarkan biar disemak supaya jangan ada nama-nama yang tak patut ada dalam tu ada. Saya hairan mengapa pegawai ini buat," katanya.
Rafidah berkata, ahli-ahli Parlimen yang berkenaan tidak patut berasa malu apabila nama mereka disenaraikan sebagai penerima AP kerana itu adalah hak mereka dan AP itu adalah untuk kegunaan sendiri.
"Apa salahnya kita beri, hak kita. Saya megah kalau kita laksanakan apa yang Kabinet suruh dan MP (Anggota Parlimen) dapat beli. Jangan malu nama keluar," katanya.
Beliau menggesa Lim agar menarik balik kenyataan bahawa pendedahan senarai ahli Parlimen menerima AP itu adalah untuk menutup mulut mereka daripada membangkitkan lagi isu AP.

