Najib: Jadi PM tak semuanya indah
Berada di puncak pentadbiran negara bukanlah sentiasa indah seperti yang dilihat ramai orang, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
"Orang hanya tengok hal-hal yang indah seperti ada kenderaan pengiring.
"Tetapi itu hanya luaran. (Di sebaliknya) adalah kesukaran yang perlu dihadapi, keputusan sukar yang perlu dibuat walaupun ia adalah keputusan yang betul," katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Sesi bersama PM di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi pagi ini.
Sebelum itu Najib berjanji kerajaan akan terus menjaga rakyat tetapi pada masa sama berkata langkah yang tidak popular perlu diambil.
"Saya tahu (pelaksanaan) GST tidak popular.
"(Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad) Tan Sri Wahid Omar ketika itu ada dalam kabinet, beliau tahu betapa sukarnya (mengambil langkah itu)," katanya lagi.
Wahid yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri turut hadir di sesi tersebut.
Najib berkata lagi antara langkah popular yang diambil kerajaan adalah menghapuskan beberapa tol.
"Ia bukannya mudah tetapi saya tak setuju membayar tol setiap hari adalah baik untuk rakyat.
"Bagi Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Karak, sesekali tak mengapa. Tetapi bayar tol sehingga empat kali dalam satu hari siapa tak marah?" katanya lagi.
Menurut Najib, pada ketika tertentu ada beberapa keputusan terdahulu yang dibuat perdana menteri sebelumnya terpaksa dibatalkan.
"Masalah legasi. Saya akan rungkaikan apa yang saya rasa tidak memihak kepada kepentingan rakyat Malaysia," katanya.

