Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'BN suka kotorkan alam sekitar dengan beg plastik'
Diterbitkan:  Feb 22, 2018 6:16 PM
Dikemaskini: 10:22 AM

Bermula dengan langkah yang kurang popular, kawalan penggunaan beg plastik memasuki fasa baru apabila ia turut menjadi produk dalam perang politik Malaysia.

Hari ini Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) menggunakan isu itu untuk menjelaskan kelebihan gabungan pembangkang berbanding kerajaan BN.

Tun Dr Mahathir Mohamad membayangkan HARAPAN adalah parti politik masa depan untuk rakyat Malaysia.

BN pula, katanya, adalah "masa lalu" yang hanya mengkotorkan alam sekitar.

"Jadi, BN adalah untuk masa lalu yang (suka) kotorkan alam sekitar dengan beg plastik.

"Sebaliknya, HARAPAN adalah untuk masa hadapan, apabila beg sebegini (beg guna semula) akan boleh digunakan berkali-kali," katanya sambil menunjukkan dua jeni beg pada tangannya.

Kenyataan itu dimuat naik melalui ciapan di Twitter hari ini.

 

 

Selangor mula menguatkuasakan larangan penggunaan beg plastik dan polisterin mulai 1 Jan 2017 di semua pusat komersial utama.

Kira-kira tujuh tahun sebelum itu kerajaan negeri menguatkuasakan larangan sama pada setiap Sabtu bagi mengawal penggunaan plastik yang mencemarkan alam sekitar serta lambat untuk dilupuskan.

Janji BN untuk Selangor

Bagaimanapun pengguna masih boleh mendapatkan beg plastik jika mereka sanggup membayar tambahan 20 sen bagi setiap satu bahan berkenaan.

Ia disambut baik aktivis dan pencinta alam sekitar tetapi rungutan banyak disuarakan pengguna biasa.

Pada 18 Feb lalu salah seorang pemimpin BN Selangor menjanjikan tiada lagi caj 20 sen untuk setiap beg plastik jika pengundi memilih mereka untuk mentadbir Selangor selepas pilihan raya umum (PRU) ke-14.

"Ini salah satu manifesto kerajaan BN.

"Dapat balik kerajaan BN Selangor, semua tak payah bayar lagi plastik, mahu tak mahu?" kata Ketua Penerangan BN Selangor, Datuk Satim Diman (gambar).

Satim turut mencabar kepimpinan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali supaya membina kilang plastik sendiri tanpa mengenakan caj tambahan 20 sen kepada penduduk negeri itu.

“Kalau betul dia (Azmin) jaga kebajikan anak muda dia bukalah kilang dekat sini dan kalau saya dekat sini (Sungai Pelek) saya buka kilang plastik.

“Kilang plastik kepunyaan kerajaan negeri Selangor, jadi kita pergi kedai tak payah beli plastik.

"Ini sudah beli barang, ditanya pula nak beli plastik atau tidak, kalau mahu 20 sen. Apa punya kerajaan ni?" katanya yang dipetik Malaysiakini.

Menurut Dr Mahathir langkah BN ingin memperkenalkan kembali penggunaan beg plastik secara percuma tidak baik untuk masa depan.

Katanya langkah itu akan menyebabkan pertambahan jumlah sampah yang akan terkumpul di negara ini.

"Kami pula di Pakatan Harapan ingin anda menggunakan beg kitar semula," katanya.

Lihat Komen
ADS