AP: Beberapa wakil rakyat masih tidak puashati penjelasan Rafidah
Penjelasan selama 45 minit oleh Datuk Seri Rafidah Aziz mengenai isu Permit Import (AP) di sidang Dewan Rakyat hari ini gagal memuaskan hati beberapa ahli Parlimen.
Penjelasan selama 45 minit oleh Datuk Seri Rafidah Aziz mengenai isu Permit Import (AP) di sidang Dewan Rakyat hari ini gagal memuaskan hati beberapa ahli Parlimen.
Rata-rata mereka yang ditemui di lobi Parlimen selepas sesi soal jawab berkata, kekeliruan mengenai isu AP itu belum terjawab dan mahu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu hadir sekali lagi di dewan untuk menjelaskannya.
Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian) berkata, antara kekeliruan dan persoalan berhubung isu AP belum terjawab ialah kenapa sebahagian besar AP diberi kepada golongan atau syarikat tertentu.
"Ini amat tidak tepat dengan dasar kerajaan sendiri. Kalau betul, ini tidak akan membantu kerajaan mencapai pegangan ekuiti 30 peratus di kalangan Bumiputera sendiri," katanya.
Salahuddin berkata, ahli Parlimen akan menunggu semasa penggulungan Bajet 2006 oleh kementerian itu untuk membangkitkan lagi isu AP, dan pada masa itu, Rafidah akan mempunyai masa yang lebih panjang untuk menjawab pertanyaan mereka.
Menurut laporan Bernama, Datuk Mohd Said Yusof (BN-Jasin) pula berkata beliau tidak puas dengan jawapan Rafidah termasuk penjelasan berhubung soalan tambahannya mengenai isu AP.
Katanya, beliau akan membahaskan perkara itu dengan lebih terperinci dalam sesi perbahasan rang undang-undang berkenaan dan mahu Rafidah hadir bagi membuat penggulungan termasuk di peringkat jawatankuasa.
"Ini kerana kita tahu, kereta yang dibawa masuk adalah daripada jenis yang boleh memberikan persaingan kepada Proton dan Perodua iaitu 1,600 cc ke bawah.
'Imej buruk'
"Kalau kita hendak menjual kereta nasional ke luar negara, orang akan bertanya tentang jumlah kegunaan kereta itu dalam negara, kalau lebih 50 peratus orang akan percaya tetapi kalau (jualan) dalam negara pun turun hingga 40 peratus, ini memberikan imej buruk," katanya.
Datuk Raja Ahmad Zainudin Raja Omar (BN-Larut) berkata, Rafidah masih perlu memperjelaskan secara menyeluruh kepada umum mengenai pengeluaran AP.
Katanya, penjelasan itu penting kerana pengeluaran AP yang banyak telah menjejaskan penjualan kereta Proton di pasaran tempatan.
"Kita kalau boleh tak nak dikelirukan...nak tahu lebih teliti. Kita akan bahas dalam bajet nanti," katanya.
Ketua Pembangkang Lim Kit Siang pula berkata, Rafidah perlu lebih kerap hadir ke persidangan untuk menjawab perkara berbangkit mengenai kementerian itu.
Bagaimanapun Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz berkata penjelasan yang diberikan oleh Rafidah adalah memuaskan dan hampir sama semasa beliau menjelaskan isu AP itu kepada jemaah menteri sebelum ini.
Beliau berkata, Rafidah telah meluangkan masa yang agak panjang untuk menjawab pertanyaan ahli Parlimen tetapi ternyata masa yang diperuntukkan itu tidak mencukupi.
"Biasanya, untuk menteri, kita memberi peluang tiga soalan tambahan tetapi kali ini beliau telah menjawab lima soalan. Dan saya lihat masih ada enam lagi wakil rakyat yang ingin menanyakan soalan tetapi tidak berpeluang," katanya.
Ditanya sama ada Rafidah perlu hadir lagi ke Parlimen untuk menjawab soalan mengenai AP, Nazri berkata ia sejajar dengan arahan Perdana Menteri yang mahu menteri-menteri menjawab sendiri soalan mengenai kementerian mereka khususnya yang melibatkan isu besar.

