Ketua Pembangkang Lim Kit Siang berkata arahan menghalang penyokong Barisan Nasional (BN) menyokong usul pembangkang adalah tidak munasabah dan beliau berharap Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan menghapuskan amalan itu.

"Dengan itu, kita akan ada ahli Parlimen BN yang berani untuk bersuara dengan lantang dan sejujurnya," katanya kepada pemberita di Parlimen hari ini.

Semalam, dua penyokong kerajaan Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) dan Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) ditegur kerana menyebelahi usaha Lim yang mengemukakan usul berkaitan isu AP terhadap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industi, Datuk Seri Rafidah Aziz dan Ketua Setiausaha kementeriannya, Datuk Sidek Hassan.

Lim mengemukakan usul mendesak Rafidah dan Sidek Hassan supaya dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen berikutan tindakan Sidek menghantar surat bertarikh 30 September kepada semua ahli Parlimen bagi menjelaskan isu pengeluaran senarai nama wakil rakyat yang menerima AP.

Berikutan itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak, yang juga Ketua Whip BN berkata tindakan mereka akan dibincangkan dalam mesyuarat kabinet esok, kerana ia bertentangan dengan dasar BN.

Bagaimanapun, menurut laporan Bernama , Bung Moktar dan Mohamed memberitahu pemberita yang mereka akan terus lantang di Dewan Rakyat bagi mencari kebenaran berhubung isu itu.

Mengulas kenyataan Lim kononnya ahli Parlimen Barisan Nasional sudah "dijinakkan" berhubung isu AP, Bung Moktar berkata mereka bukannya burung merpati yang boleh dijinakkan.

"Beliau boleh cakap apa saja, kami ahli BN akan terus menyuarakan kebenaran," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen.

Mohon maaf

Semasa membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2006, Lim berkata Bung Moktar (foto) dan Mohamed sudah dijinakkan setelah memohon maaf kepada Najib kerana menyokong usul beliau semalam.

Menyentuh insiden semalam, Bung Moktar berkata beliau tidak berniat menyokong usul Lim itu tetapi ia berlaku secara kebetulan kerana masing-masing mahukan isu surat itu ditangani secara sewajarnya.

"Tujuan kami ialah untuk mempertahan integriti Parlimen. Kenapa menteri tidak memberi penjelasan...sebab menghormati Parlimen kami kena tegas menyatakan bahawa dia silap dan seharusnya dia (Rafidah) sendiri memberi notis kepada kita, bukannya pegawai yang kononnya tidak bertanggungjawab dan akan diambil tindakan," katanya.

Mohamed pula menjelaskan sokongan beliau itu adalah secara kebetulan kerana peraturan mesyuarat 26 (1) (P) mengenai isu yang sama dibangkitkan dahulu oleh Lim.

"Saya tidak pernah sokong Kit Siang...secara kebetulan dia cakap dulu dan kami cakap kemudian, jadi seolah-olah menyokongnya. Kalau saya yang cakap dulu dan dia cakap kemudian, dia juga akan sentuh perkara yang sama dan ini tidak bermakna dia sokong saya," katanya.

Mengenai permohonan maaf mereka kepada Najib, Mohamed berkata: "Kita orang berjiwa besar ini tidak takut untuk meminta maaf."

Lim memberitahu pemberita arahan menghalang penyokong BN menyokong usul pembangkang adalah tidak munasabah dan beliau berharap Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan menghapuskan amalan itu.

"Dengan itu, kita akan ada ahli parlimen BN yang berani untuk bersuara dengan lantang dan sejujurnya," katanya.