Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ustaz Somad, Rizieq Shihab presiden Indonesia?
Diterbitkan:  Feb 23, 2018 6:38 PM
Dikemaskini: 10:44 AM

GLOBAL | Hari ini Presiden Joko Widodo (Jokowi) secara rasmi dinamakan sebagai calon presiden oleh Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP) dalam persaingan tahun depan.

Ia diumumkan oleh ketua PDI-P, Megawati Sukarnoputri di Bali.

Namun jangan terkejut jika akhirnya jawatan presiden Indonesia disandang untuk dua tokoh yang dikenali ramai terutama masyarakat Islam, iaitu Rizieq Shihab serta penceramah yang kini sangat popular, Abdul Somad.

Keyakinan bahawa Rizieq boleh menjadi presiden itu dinyatakan pemimpin kanan pertubuhan yang diketuainya, Front Pembela Islam (FPI).

Menurut Setiausaha Agung FPI, Novel Bamukmin, tidak mustahil Rizieq - yang kini masih belum pulang untuk disiasat berhubung tuduhan terlibat dalam sembang lucah bersama seorang janda - boleh menjadi pemimpin Indonesia.

Namun kenyataan Novel itu dibuat berdasarkan andaian negara terbabit berdepan mengalami darurat dan majoriti rakyat mahu pendakwah berusia 52 tahun itu menjadi pemimpin.


Baca Firza mahu dalang sebar sembang, gambar lucah ditangkap


Satu lagi faktor yang perlu ada - berdasarkan kenyataan dibuat Novel kepada Tempo - ialah pelantikan itu dibuat secara rundingan.

“(Pelantikan dibuat) berdasarkan musyawarah mufakat, bukan demokrasi,” katanya.

Portal Tempo juga menyatakan selain Rizieq, nama Abdul Somad - atau lebih popular dengan panggilan Ustaz Somad - juga disebut layak menjadi presiden berdasarkan kajian Lembaga Media Survei Nasional (Median).

Cuma, populariti Rizieq dan Abdul Somad masing-masing cuma 0.3 peratus.

Trending di Twitter

Pemilihan presiden Indonesia dijadual diadakan pada tahun depan.

Berbeza dengan Malaysia, Indonesia - seperti kebanyakan negara lain yang mengamalkan demokrasi - mengumumkan tarikh pilihan raya jauh lebih awal, membolehkan semua parti mendapat peluang serta membuat persiapan seimbang.

Pilihan raya umum Indonesia dan pemilihan presiden negara itu dijadual diadakan pada 17 Apr 2019.

Jokowi adalah presiden ketujuh Indonesia dan cukup popular dengan sikap sederhana, santai serta telus dalam pentadbirannya.

Sementara itu Pengarah Median, Rico Marbun, berkata nama Rizieq dan Abdul Somad muncul ketika responden diminta menyatakan tokoh yang dirasakan wajar menjadi presiden Indonesia.

Untuk rekod, ada 33 nama yang dicadangkan tetapi responden diberi ruang untuk menamakan tokoh lain.

Kaji selidik itu diadakan selama sembilan hari mulai 1 Feb, membabitkan 1,000 responden.

Sementara itu pengumuman Megawati itu disambut dengan sorakan penyokong PDIP

Namun Megawati dan Jokowi tidak menjawab soalan media selepas acara itu selesai.

Kedua-dua mereka kemudian masuk ke kenderaan masing-masing sebelum beredar dari pekarangan Grand Inna Beach Hotel di pulau peraingan berkenaan.

Selesai pengumuman itu juga tanda pagar #T3tetapJokowi menjadi trending di Twitter.

Lihat Komen
ADS