Annuar Musa tegur kjaan Kelantan bina tugu
Ketua pembangkang Datuk Annuar Musa menyelar tindakan kerajaan negeri Kelantan membina beberapa tugu di pusat bandar sempena perisytiharan Majlis Perbandaran Kota Baharu (MPKB) sebagai Bandaraya Islam.
Ketua pembangkang Datuk Annuar Musa menyelar tindakan kerajaan negeri Kelantan membina beberapa tugu di pusat bandar sempena perisytiharan Majlis Perbandaran Kota Baharu (MPKB) sebagai Bandaraya Islam.
Annuar (BN-Kok Lanas) berkata, langkah kerajaan negeri itu merupakan satu pembaziran wang rakyat dan bertentangan dengan aspirasi agama Islam itu sendiri.
"Kita sokong jika kerajaan negeri ingin dikenali sebagai Bandaraya Islam. Tetapi apa gunanya membina tugu yang banyak di sekitar Kota Baharu? Itu bukan kerja Islam, yang saya tahu "Kerajaan Langit" Ayah Pin sahaja yang bina tugu-tugu ni," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan cadangan usul terima kasih terhadap titah perasmian Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Bharu, semalam.
Annuar yang pengerusi Umno Kelantan berkata, perbuatan mencantikkan bandar secara berlebihan adalah tidak digalakkan dalam Islam dan perbuatan seumpama itu pernah ditegur Nabi Muhammad SAW sendiri.
"Nabi Muhammad SAW pernah bersabda: Bahawa tidak payahlah berlaku demikian (pembaziran) ketika hendak membina bangunan cantik, yang penting ialah kecantikan daripada segi pengisian Islam, kebersihan, keadilan dan kebajikan," katanya.
Kawasan lebih bersih
Menurut laporan Bernama, beliau juga berharap MPKB dapat menjaga nama baik Islam, dengan memastikan kawasan yang lebih bersih dan tertib selaras dengan ajaran Islam.
Sementara itu, Annuar mencadangkan penubuhan jawatankuasa khas dalam mengatasi kelemahan pengurusan Dewan Undangan Negeri Kelantan.
"Saya cadangkan kerajaan negeri agar melakukan perubahan dari segi pengurusan hal ehwal DUN yang kini tidak menjalankan tugasnya dengan sempurna, misalnya penyata rasmi persidangan tahun 2000 masih belum siap-siap lagi," katanya.
Beliau juga menggesa DUN untuk lebih mesra pembangkang dengan memberi ruang kepada mereka untuk bersuara seperti yang diamalkan di Parlimen.
"Kalau boleh usul yang dibawa juga sepatutnya lebih daripada dua dan pihak pembangkang tidak kisah kalau persidangan dilanjutkan," katanya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.