Penduduk Flat Taman Ampang Mewah mengalu-alukan kesediaan pemaju Town West Sdn Bhd untuk mengadakan perbincangan bagi menyelesaikan beberapa perkara, termasuk isu geran hakmilik dan dakwaan tunggakan kos penyelenggaraan hampir RM150,000.

Presiden Persatuan Masyarakat Selangor dan Wilayah Persekutuan, Tan Jo Hann berkata, pihaknya berharap perbincangan itu dapat diadakan secepat mungkin.

Katanya, kesediaan pemaju itu memberi khabar gembira kepada penduduk dan berharap perbincangan itu akan berjaya menyelesaikan masalah yang membelenggu penduduk sejak sekian lama.

"Kita mahu pemaju memberikan bukti terhadap dakwaan mereka bahawa penduduk flat tidak membayar bil penyelenggaraan menyebabkan tertunggak sebanyak RM150,000," katanya.

Bagaimanapun, Tan menolak dakwaan bahawa penduduk Flat Taman Ampang Mewah, tidak pernah membuat aduan kepada pemaju mengenai masalah geran hakmilik dan penyelenggaraan.

Beliau berkata, penduduk sudah banyak kali membuat aduan dan setiap kali aduan, "kakitangan syarikat tersebut mengatakan akan diberitahu kepada `pegawai' yang bertugas".

"Sehingga hari ini, tidak ada sebarang tindakan yang diambil oleh pemaju berhubung aduan tersebut," katanya.

Semalam, jurucakap pemaju Town West Sdn Bhd (anak syarikat Seimbang Sdn Bhd) mendakwa, pihaknya tidak menghadiri perbincangan yang diatur oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Sabtu lalu, kerana tidak diberitahu mengenainya.

Bayaran selenggara tertunggak

Jurucakap Town West Sdn Bhd anak syarikat Seimbang Sdn Bhd yang memajukan kawasan perumahan tersebut berkata, pihaknya tidak tahu menahu mengenai masalah tersebut kerana tidak menerima sebarang aduan daripada penduduk terbabit.

Sebaliknya, beliau berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah untuk menemui penduduk dan mengadakan perbincangan mengenai masalah geran hakmilik dan penyelenggaraan kepada penduduk flat berkenaan.

"Kami tidak pernah lari dari tanggungjawab...tetapi kami tidak diberitahu oleh MPAJ mengenai perbincangan tersebut," katanya ketika dihubungi.

Perbincangan tersebut sepatutnya diadakan Sabtu lalu, selepas MPAJ menerima memorandum daripada pembeli terbabit, tetapi ianya tidak dapat diadakan kerana pihak MPAJ tidak dapat mengesan dan menghubungi pemaju berkenaan.

Sementara itu, Syarikat Land Serve Property Management yang diberi tanggungjawab menyelenggara Taman Ampang Mewah sebelum ini, mendakwa pembeli tidak membayar kos penyelenggaraan sejak bertahun-tahun lalu.

Jurucakapnya berkata, sehingga ini bayaran tertunggak berjumlah hampir RM150,000 dan ini menyebabkan pihaknya terpaksa mendapat sumber kewangan lain bagi kerja-kerja penyelenggaraan yang penting terlebih dahulu.

"Kami baru mengambilalih pengurusan pada bulan Jun lalu dan setakat ini, kami telah membelanjakan puluhan ribu untuk membayar bil elektrik, air dan beberapa perkara lain," katanya.

Beliau berkata, buat masa ini, pihaknya tidak dapat mencuci tangki air yang kotor kerana syarikat tidak mempunyai wang sebanyak RM20,000 sebagai kos mengendalikan kerja tersebut.