Kerajaan PAS Kelantan tidak pernah sekat premis jual arak
Kerajaan PAS Kelantan tidak pernah bercadang menghentikan atau menyekat penjualan arak di premis bukan Islam di negeri ini.
Kerajaan PAS Kelantan tidak pernah bercadang menghentikan atau menyekat penjualan arak di premis bukan Islam di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya hanya meluluskan lesen penjualan arak kepada premis bukan Islam.
Bagaimanapun, ketika menjawab soalan di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Bharu hari ini, beliau berkata, walaupun lesen itu dikeluarkan, tetapi jumlahnya dikawal mengikut keperluan sesuatu tempat.
"Sejak PAS memerintah Kelantan pada 1990 hingga sekarang kita tidak pernah bercadang menghentikan atau menyekat penjualan arak di kalangan masyarakat bukan Islam di negeri ini.
"Di bandar Kota Bharu sahaja terdapat 19 premis perniagaan bukan Islam terutama di Jalan Kebun Sultan dan Jalan Sri Cemerlang yang menyediakan minuman itu kepada bukan Islam," katanya di sini.
Takiyuddin menjawab soalan Mohd Rosdi Ab Aziz (BN-Wakaf Bharu) sama ada kerajaan negeri bercadang menghapuskan premis penjualan arak di Kelantan, sesuai dengan slogan 'Membangun Bersama Islam'.
14 lesen diluluskan
Menurut laporan Bernama , beliau berkata, aktiviti minum minuman keras itu dikawal pihak berkuasa tempatan melibatkan premis yang tidak bercampur dengan aktiviti perniagaan untuk orang Islam.
Beliau juga menafikan dakwaan bahawa lesen penjualan arak dikeluarkan secara berleluasa kerana hanya 14 lesen penjualan minuman itu dikeluarkan di beberapa daerah, termasuk enam lesen di Kota Baharu, empat di Gua Musang dan masing-masing satu di Kuala Krai, Pasir Mas, Tanah Merah dan Tumpat.
"Jika ada premis lain yang didapati menjalankan aktiviti penjualan arak, ia adalah premis haram. Kita sudah terima aduan kegiatan itu di Wakaf Bharu dan didapati majoriti pelanggannya adalah masyarakat Siam dan Cina.
"Bagaimanapun, ingin saya tegaskan, kita tidak akan menyekat minuman arak kepada masyarakat bukan Islam di negeri ini," katanya menjawab soalan tambahan Mohd Rosdi mengenai 10 premis jualan arak dan ia tidak terkawal di Wakaf Baharu.
Takiyuddin berkata, ia juga selaras dengan ajaran Islam, di mana negara Islam tidak boleh menyekat masyarakat bukan Islam minum arak dan sebab itulah, minuman keras itu dibenarkan diimport oleh bukan Islam.

