Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM sambut baik Kuok hargai peluang diberi kerajaan
Diterbitkan:  Feb 27, 2018 8:46 PM
Dikemaskini: 1:07 PM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak 'menyambut baik' kenyataan ahli perniagaan Robert Kuok bahawa beliau menghargai setiap peluang yang diberi kepadanya.

Dalam suatu kenyataan hari ini, Setiausaha Akhbar PM Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad berkata Najib turut menyambut baik kenyataan Kuok yang mengiktiraf sumbangan yang dibuat masyarakat Malaysia dalam pembangunan negara.

Tengku Sariffuddin juga mengambil maklum penghargaan Kuok terhadap pemimpin Malaysia dalam kenyataan dikeluarkan pejabat bilionair yang berpengkalan di Hong Kong semalam.

"Kejayaan Robert Kuok sebagai seorang usahawan adalah satu cerita kejayaan Malaysia," kata Tengku Sariffuddin.

Kuok menjadi topik serangan para pemimpin Umno berikutan rencana oleh Malaysia Today, bertarikh 23 Februari yang mendakwa 'orang terkaya Malaysia' itu mendanai DAP dan portal berita The Malaysian Insight.

Pada hari berikutnya, Najib dalam ucapan di suatu persidangan berkata 'Raja Gula Malaysia' itu berjaya atas peluang yang dicipta melalui dasar kerajaan.

"Jika kita tengok nama-nama orang terkaya di Malaysia ini, misalnya Robert Kuok, siapa yang beri anak kunci (sehingga) beliau dapat memonopoli (industri) beras dan gula suatu ketika dulu?

"Ia diberikan oleh kerajaan," katanya.

Susulan itu, beberapa pimpinan Umno yang menerima dakwaan Malaysia Today itu menuduh Kuok tidak mengenang budi.

Mereka termasuklah menteri kabinet yang juga pimpinan tertinggi Umno, iaitu setiausaha agungnya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, ahli majlis tertinggi Datuk Seri Nazri Abdul Aziz dan Datuk Azlina Othman Said.

Nazri malah berkata Kuok jangan menjadi 'pondan' dan mencabar hartawan itu untuk bertanding dalam pilihanraya.

Serangan pimpinan Umno itu pula mengundang maklum balas MCA dan Gerakan yang tidak berpuas hati.

Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai secara peribadi memberitahu perdana menteri rasa tidak puas hati masyarakat Cina berhubung serangan terbaru terhadap Kuok dan berharap perkara ini dapat diselesaikan.

Beliau berkata kejayaan Kuok menjadi inspirasi buat para usahawan.

Maklum balas Najib terhadap kenyataan Kuok mungkin akan menghentikan kritikan dan cercaan para pemimpin Umno sejak beberapa hari yang lalu kepada bilionair itu.
 

Lihat Komen
ADS