DAP sokongan gesaan Kayveas adakan semula pilihanraya PBT
Terjemahan DAP menyokong gesaan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk M Kayveas supaya diperkenalkan semula pilihanraya bagi majlis kerajaan tempatan (PBT).
Terjemahan DAP menyokong gesaan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk M Kayveas supaya diperkenalkan semula pilihanraya bagi majlis kerajaan tempatan (PBT).
Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, pilihanraya tersebut akan dapat membanteras rasuah, ketidakcekapan dan kurangnya profesionalisme dalam PBT.
"Hanya pilihanraya PBT dapat memastikan perkhidmatan yang berakauntibiliti, bebas rasuah dan telus yang lebih profesional, cekap dan berkesan dalam berkhidmat kepada rakyat," katanya dalam satu kenyataan.
Lim berkata, pilihanraya PBT merupakan satu-satunya 'jawapan' dan bukannya melalui ahli yang dilantik, yang didakwanya beroperasi seperti 'kongsi gelap'.
Beliau menegaskan demikian ketika mengulas kenyataan Kayveas mengenai pihak berkuasa tempatan yang mendapat liputan meluas.
Kenyataan Presiden Parti Progresif Rakyat (PPP) itu menimbulkan kemarahan sesetengah ahli PBT apabila dia mendakwa mereka beroperasi seperti kongsi gelap.
Beliau menyifatkan majlis berkenaan sebagai 'agensi pemungut cukai' dan pada masa yang sama mengkritik mereka kerana berbelanja melebihi pendapatan masing-masing.
Beliau mengambil contoh ahli majlis mengadakan lawatan sambil belajar ke luar negara, yang menurutnya tidak memberi sebarang faedah.
Ketika menyokong kenyataan Kayveas itu, Lim berkata, majlis tempatan sepatutnya menggunakan wang yang dibelanjakan untuk melawat ke luar negeri, untuk tujuan yang lebih berfaedah seperti membanteras ancaman denggi.
Katanya, ini kerana kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Chua Soi Lek, menyebut statistik yang menunjukkan 80 peratus kes denggi berlaku dalam kawasan majlis tempatan.
"Jelas sekali bahawa pihak berkuasa tempatan telah gagal melaksanakan tanggungjawab asas mereka untuk menjaga keselamatan dan kesihatan dalam kawasan mereka," tambahnya.
Ganjaran politik
Seorang lagi penimpin DAP, yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching, Chong Chieng Jen, berkata, perlantikan ahli majlis dibuat secara 'pilih kasih'.
"Di bawah sistem sekarang, ahli majlis kerajaan tempatan dicalonkan oleh parti-parti komponan Barisan Nasional (BN), tanpa berdasarkan kepada kecekapan, tetapi lebih kepada pilih kasih dan kesetiaan kepada BN," katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, perlantikan menjadi ahli majlis kerajaan tempatan juga menjadi satu bentuk ganjaran politik kepada penyokong setia kerajaan BN,
Berikutan itu, beliau menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya menimbang secara serius cadangan supaya diperkenalkan semula pilihanraya majlis tempatan.
Chong, yang juga Timbalan Ketua Pemuda DAP berkata, ketidakcekapan majlis-majlis tempatan juga turut menjejaskanp pembangunan perniagaan.
Majlis tempatan bertanggungjawab mengawasi banyak aktiviti berkaitan seperti mengeluarkan lesen, melulus pelan bangunan dan projek pembangunan, serta perancangan bandar./ Berita asal

