GLOBAL | Delegasi Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) meninjau sendiri situasi terkini di wilayah bergolak selatan Thailand serta usaha yang dijalankan oleh kerajaan Thailand untuk membawa keamanan di wilayah itu.

Delegasi terdiri daripada 11 orang wakil negara-negara anggota OIC termasuk Malaysia, Turki, Indonesia, Pakistan, Brunei dan Bangladesh akan berada di selatan Thailand sehingga 1 Mac ini.

Hari ini, delegasi berkenaan melawat Kem Renjer di Saiburi di Pattani, Thailand dan disambut Panglima Tentera ke-4 Lt Jen Piyawat Nakwanich yang memberikan penerangan tentang program deradikalisasi "Bawa Balik Kampung" dalam mengembalikan keamanan di wilayah itu.

"Jika ramai yang membelakangkan keganasan dan meletakkan senjata sambil bekerjasama dengan kerajaan, maka kedamaian akan wujud," katanya kepada pemberita pada pertemuan dengan wakil-wakil daripada OIC itu di Pattani, hari ini.

Program 'Bawa Balik Kampung' itu menerima sambutan menggalakkan daripada mereka yang pernah terlibat dengan konflik di selatan Thailand dengan 103 orang yang pernah terlibat dengan beberapa kumpulan bersenjata menyertai program terbabit baru-baru ini.

Wujud keamanan, bina kedamaian

Delegasi OIC itu turut melawat sebuah pasar di Yala yang menjadi lokasi serangan bom baru-baru ini yang mengorbankan tiga orang.

Wakil kerajaan Turki dalam delegasi OIC itu Salih Mutlu yang ditemui pemberita berkata, OIC mahu membantu kerajaan Thailand mewujudkan keamanan dan membina kedamaian di selatan Thailand untuk kepentingan semua pihak.

Beliau turut memuji usaha yang dimainkan oleh kerajaan Thailand.

Sementara itu di Bangkok, Perdana Menteri Jen Prayut Chan-o-cha juga mengulas mengenai kunjungan delegasi OIC berkenaan.

Beliau berharap delegasi OIC akan menyaksikan kemajuan ketara yang dibuat di selatan Thailand menerusi pelbagai usaha yang dilakukan kerajaan Thailand dalam menyelesaikan konflik yang berpanjangan di wilayah selatan.


-Bernama