Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah akan menjadi calon yang baik untuk bertanding di Kuala Lumpur atau Selangor, kata Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin.
"Beliau akan menjadi calon dan ahli Parlimen yang baik... Dengan profilnya, beliau boleh membawa perjuangannya untuk pilihan raya yang bebas dan adil ke dalam Parlimen," katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui di Shah Alam semalam.
Menurut Zuraida, Maria lebih sesuai untuk bertanding di kawasan bandar, seperti di Kuala Lumpur atau Selangor, di mana orang ramai mengenalinya.
Bagaimanapun, kata Zuraida, beliau belum dapat menawarkan kerusi tertentu kepada Maria, kerana pengerusi BERSIH itu belum membuat keputusan sama ada akan bertanding dalam pilihan raya umum ke-14.
Maria (gambar) mengesahkan semalam bahawa dia telah ditawar untuk bertanding kerusi parlimen dalam PRU14, dan menurutnya, beliau menyatakan sedang menimbang pilihannya.
Menjawab soalan, Zuraida mendedahkan bahawa beliau telah menemui aktivis itu dua minggu lalu dengan tawaran untuk menjadi calon.
"Saya bercakap dengan orang seperti beliau dan (bekas pengerusi BERSIH) Datuk Ambiga Sreenevasan. Setiap datangnya pilihan raya saya menemui mereka untuk meminta mereka bertanding," katanya.
Ahli Parlimen Ampang berkata jika Maria memutuskan untuk menjadi calon Pakatan Harapan, ia akan membantu beliau memenuhi matlamatnya untuk meningkatkan bilangan wanita yang bertanding dalam pilihan raya umum.
"Pengundi wanita juga akan menjadi sangat penting dalam PRU14," katanya.
Zuraida menyatakan harapannya bahawa pengerusi HARAPAN Tun Dr Mahathir Mohamad akan menimbang untuk mencalonkan lebih ramai wanita dalam PRU14.
Ini, tambahnya, akan menunjukkan bahawa beliau serius mengenai pembaharuan.
