Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Isu Orang Asli: Kelantan kini sedia jumpa k'jaan pusat
Diterbitkan:  Feb 28, 2018 4:38 PM
Dikemaskini: 9:37 AM

Kerajaan Kelantan kini berkata sedia untuk berunding dengan kerajaan persekutuan berhubung isu yang melanda Orang Asli di negeri itu.

Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, selepas pertemuan dengan wakil Orang Asli kerajaan negeri mendapati ada beberapa isu berkaitan masyarakat itu.

"Bukan soal pembalakan sahaja yang dibangkitkan, malah ketidakpuasan hati dari segi pengurusan antara kerajaan (persekutuan) melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) membabitkan kerajaan mereka.

"Isu ini berkait, jadi kalau kerajaan nak jumpa dengan kerajaan negeri kita alu-alukan," katanya seperti dipetik Bernama hari ini.

Pada 20 Februari lalu, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Dato Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menggesa kerajaan Kelantan dan Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah berbincang bersama Orang Asli di situ.

Ia susulan tiga sekatan yang dibuat Orang Asli di kawasan Hutan Simpan Gunung Stong Selatan sejak 15 Februari lalu kerana membantah penerokaan hutan dan tanah adat mereka bagi tujuan pembalakan dan perladangan.

Namun pada 22 Februari lalu Mohd Amar berkata kerajaan negeri menunggu laporan daripada Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) sebelum membuat langkah susulan.

Sementara itu, Mohd Amar berkata kerajaan negeri tidak akan berunding dengan Jaringan Orang Asal SeMalaysia (JARINGAN) Kelantan yang melakukan sekatan pembalakan tersebut.

"Mereka (JARINGAN) adalah pertubuhan tidak berdaftar. Tak betul kalau kerajaan (negeri) berunding dengan badan yang tidak diiktiraf," katanya.

Beliau juga berkata sekatan tersebut juga tidak dipersetujui semua Orang Asli di sana, malah ada yang membuat laporan kepada polis kerana ia telah mengganggu kehidupan mereka.
 

Lihat Komen
ADS