Dua akauntan Msia yang ditahan di Indonesia sudah dibebaskan
Selepas kira-kira 50 hari ditahan oleh polis Indonesia di Makassar, Sulawesi Selatan, dua akauntan Malaysia dibebaskan semalam dari sebarang tuduhan dan terus berlepas pulang ke Kuala Lumpur malam tadi.
Selepas kira-kira 50 hari ditahan oleh polis Indonesia di Makassar, Sulawesi Selatan, dua akauntan Malaysia dibebaskan semalam dari sebarang tuduhan dan terus berlepas pulang ke Kuala Lumpur malam tadi.
Choo Yao Chin, 24 dan Raimala Sivalingam, 29, kedua-duanya pekerja KPMG Malaysia, telah dibawa ke Jakarta oleh Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Zainal Abidin Mahamad Zain tengah hari ini.
Zainal Abidin berada di Makassar sejak Isnin lalu untuk berusaha membebaskan kedua-dua akauntan itu, selepas kedua-dua mereka dibenarkan ikat jamin sebanyak Rp100 juta (RM40,000) tiap seorang pada 23 September lalu.
"Mereka dibebaskan dari sebarang tuduhan dan dilepaskan. Sekarang mereka boleh pulang," katanya kepada Bernama di sini sebaik tiba dari Makasar.
Bagaimanapun Choo dan bapanya Teck Keong yang berada di Makasar sejak 23 September, serta Raimala, terus menunggu di bilik transit lapangan terbang Sukarno-Hatta di Cengkareng, dan tidak singgah di pejabat Kedutaan di Kuningan di sini.
Menurut laporan Bernama , Choo dan Raimala ditahan oleh polis Indonesia semasa mereka sedang menjalankan kajian tentang sebuah syarikat lombong "PT International Nickel Indonesia" di Sorowako.
Bersyukur dan gembira
Sementara itu, Choo dan Raimala bersyukur dan gembira setibanya di tanahair malam tadi. Pesawat MAS yang mereka naiki mendarat di di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada jam 9.20 malam.
Choo berkata, beliau sangat gembira kerana dapat pulang ke tanahair dengan selamat dan bertemu kembali dengan anggota keluarganya.
"Ia bukan situasi yang menyeronokan untuk hidup dalam penjara namun selepas seminggu, saya dapat tangani keadaan itu dan menerimanya," katanya menceritakan pengalamannya kepada pemberita yang menunggunya di KLIA.
Katanya, sepanjang 20 hari di penjara, beliau diberi layanan yang baik. Beliau tinggal bersama antara tujuh dan 10 orang dalam lokap itu.
Mengenai makanan, Choo berkata beliau diberi makan dengan sempurna dan mengikut masa walaupun ia tidak seenak makanan di luar.
"Saya kena makan walaupun ia tidak sedap, ia bagi menguatkan diri saya untuk menghadapi situasi," katanya.
Raimala pula berkata beliau ditahan di sebuah hospital Hospital Bhalangkara kerana tiada penjara untuk wanita di situ.
Katanya, pengalaman paling perit baginya ialah beliau terpaksa tinggal bersendirian di pusat tahanan dalam hospital itu.
"Nasib baik terdapat seorang pekerja hospital yang datang menemui saya setiap malam bagi menemani saya yang sunyi," katanya.
Beliau juga menyuarakan rasa gembira dan syukur kerana dapat pulang ke tanahair. Turut menemani kedua-dua mereka ialah Duta Malaysia di Jakarta Datuk Zainal Abidin Mahamad Zain.
Zainal Abidin berkata, beliau bersyukur kepada tuhan kerana dapat membebaskan mereka dalam tempoh tiga hari.
Menurutnya, beliau pergi ke Sulawesi Isnin lepas dan seterusnya ke Makasar untuk berjumpa dengan pegawai polis dan pertemuan itu membuahkan hasil.
"Kami pergi ke Immigresen untuk menguruskan dokumen perjalanan dan pada jam 11 pagi dari Makasar, mereka berlepas ke Jakarta dan dari situ pulang ke Malaysia," katanya.
Terima kasih pada TPM
Sementara itu, majikan kedua-dua akauntan berkenaan, KPMG Malaysia dalam satu kenyataan berkata, syarikat itu gembira dengan kepulangan kedua-dua pekerjanya serta berterima kasih kepada pihak terbabit yang berjaya membebaskan mereka.
Firma itu juga berterima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang bersimpati dengan masalah yang dihadapi dua pekerja berkenaan.
KPMG juga berterima kasih kepada Zainal Abidin dan kakitangan kedutaan Malaysia di Jakarta yang secara kolektif memainkan peranan penting dalam usaha membebaskan kedua-dua kakitangan firma terbabit.
"Kami menghadapi cabaran besar dalam insiden malang ini dan saya bersyukur kepada tuhan yang rahmatnya telah membawa Choo dan Raimala balik ke tanah air dengan selamat.
"Saya juga berterima kasih kepada mereka yang telah mendoakan supaya kedua-dua mereka dilindungi," kata Quah Poh Keat, Rakan Usaha Sama Kanan KPMG Malaysia.
KPMG mula beroperasi di Malaysia pada 1928 dan operasinya di Malaysia dijalankan dengan kerjasama KPMG Desa Megat and Co. Firma itu kini mempunyai 51 rakan usaha sama dengan 1,500 kakitangan di 10 pejabat di seluruh negara.

