Aktivis pelajar Khairul Anuar Ahmad Zainuddin, dibebaskan daripada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) minggu lalu, dibenarkan meneruskan pengajiannya di Institut Kemahiran Mara (IKM) minggu depan.

Khairul Anuar, juga dikenali Jonah, dibenar menyambung pelajaran mulai Isnin depan, kata seorang ahli keluarganya, yang enggan namanya disiarkan, kepada malaysiakini hari ini.

Aktivis pelajar itu dipecat serta-merta daripada IKM Petaling Jaya pada 9 Julai, empat hari selepas ditangkap mengikut akta itu. Beliau dibebaskan tengahari 28 Julai selepas 23 hari disoal siasat polis.

Menurut keluarganya, keizinan itu telah dimaklumkan sendiri oleh Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz kepada Khairul Anuar dalam pertemuan kira-kira jam 3 petang tadi.

Sementara itu Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM), yang dilaporkan disingkir secara automatik selepas ditahan ISA, menghantar surat rayuan kepada Kementerian Pendidikan petang ini.

"Surat rayuan memohon untuk meneruskan pengajian saya kepada Menteri Pendidikan itu dihantar melalui Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UM," kata Mohamad Fuad Mohd Ikhwan ketika dihubungi malaysiakini , hari ini.

Mohamad Fuad ditangkap pada 6 Julai, sehari selepas tangkapan Khairul Anuar, dan dibebaskan 10 hari kemudian.

Universiti itu, dalam kenyataannya kepada malaysiakini petang ini, memberitahu ia "sedang mengkaji implikasi keputusan polis yang baru diterima tentang pembebasan beliau (Mohamad Fuad) daripada tahanan (ISA) tanpa tuduhan dan syarat."

Naib Canselor Prof Datuk Dr Anuar Zaini Md Zin dua hari lalu dilaporkan berkata status Mohamad Fuad sebagai pelajar universiti itu gugur berdasarkan peruntukan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku).

Anuar Zaini merujuk seksyen 15 d(3), antara lain menyebut seseorang pelajar yang ditahan mengikut undang-undang berkaitan ordinan darurat atau keselamatan dalam negeri akan disingkir dan tidak dibenarkan berada atau memasuki kampus universitinya atau universiti-universiti lain.

Menurut nain canselor itu, sebarang perubahan keputusan itu tertakluk kepada Menteri Pendidikan bagi pelajar terbabit membuat rayuan.

Bagaimanapun, akhbar hari ini melaporkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjelaskan pemimpin pelajar "tidak ditahan" mengikut akta itu.

"Dia tidak ditahan walaupun 'ditangkap' mengikut ISA untuk siasatan. Lepas siasatan itu, dia dibebaskan tanpa ditahan di bawah ISA," katanya, yang juga Timbalan Perdana Menteri, bagi mengelakkan kekeliruan mengenai kedudukan Mohamad Fuad.