Diasak media, pengerusi 1MDB pilih kunci mulut
Pengerusi 1MDB Irwan Serigar Abdullah enggan mengulas isu rampasan kapal mewah Jho Low, yang didakwa diperoleh menggunakan dana 1MDB, oleh polis Indonesia dan Biro Siasatan Persekutuan (FBI), Amerika Syarikat, semalam.
Selepas acara di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Cyberjaya hari ini, petugas media beberapa kali cuba mendapatkan maklum balasnya tetapi beliau hanya membalas dengan senyuman tanpa sebarang komen.
Antara soalan diajukan padanya, ialah:
- Apa pendapat Tan Sri tentang (rampasan) kapal layar itu?
- Adakah kerajaan Malaysia akan dapatkan balik kapal layar itu, Tan Sri?
- Tan Sri ada komen berkaitan kapal layar yang ditemui itu?
Irwan, yang juga Ketua Setiausaha Perbendaharaan tidak mengendahkan soalan itu.
Baca: Indonesia rampas kapal mewah Jho Low di Bali
Apabila diikuti hingga ke kereta, Irwan yang mahu beredar ketika itu hanya berkata “kemudian”.
Dalam rampasan kapal bernama Equanimity di Bali itu, 34 orang anak kapal berada di situ tetapi tiada kelibat Jho Low dilaporkan.
Jho Low atau nama sebenarnya Low Taek Jho melalui jurucakap menyifatkan Jabatan Keadilan (DOJ), AS "keterlaluan" kerana bertindak di peringkat global tetapi “tidak melihat kembali dakwaan yang bermotifkan politik dan penuh kelemahan”.

