Tun Dr Mahathir Mohamad membuka lembaran baru semalam, dengan kemunculan pertamanya di kawasan Parlimen Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Pekan sejak menyertai pembangkang.

Lebih 600 orang menghadiri ceramahnya malam tadi di Felda Chini, sebuah kubu kuat kerajaan BN.

"Saya ingat Felda tidak boleh menjadi penyokong kuat Umno. Sebaliknya Felda kena ikut bekas presiden Umno," kata Mahathir merujuk kepada dirinya.

Beliau juga menggesa pengundi Felda menolak PAS - parti yang kedua terkuat di tanah rancangan tersebut.

"Jangan undi dacing, jangan undi bulan, undi HARAPAN," katanya.

Lawatan malam tadi adalah yang pertama buat Mahathir dalam tempoh empat tahun, dan yang pertama sejak menyertai pembangkang.

Sebelum lawatan itu, Umno Pekan Umno telah memberi amaran bahawa mungkin ada pergaduhan jika Mahathir tidak membatalkan rancangannya itu.

Bagaimanapun, ceramah Mahathir malam tadi dan programnya sebelum itu tidak terganggu, dengan pihak polis hadir setiap masa.

Bagi sesetengah penduduk Felda Chini yang menghadiri ceramah itu, lawatan bersejarah itu membuka peluang untuk mereka menilai pihak mana untuk diundi pada pilihan raya umum ke-14.

"Kita boleh membandingkan pemimpin yang ada. Kita nak perubahan yang yang lebih baik. Kita nak banding cara pemerintahan dan penambahbaikannya," kata Hafizudin Hassan, 25, kepada Malaysiakini.

Beliau yang akan mengundi buat pertama kali pada PRU14, membayangkan ada perkara yang boleh 'menggoncang' kubu kuat Najib itu.

Manakala peneroka Majid Fazil, 63, menyimpulkan bahawa peluang Umno di Pekan adalah "50-50".

Namun, seorang lagi peneroka muda memberikan pandangan yang lebih berhati-hati.

"Umno boleh menang, tapi ia mungkin tergugat sikit," kata Saiful Aiman, 30 tahun.

Berdasarkan pandangan ketiga-tiga peneroka Felda Chini itu dan yang lainnya yang ditemui Malaysiakini malam tadi, yang mengusarkan mereka ialah beban kenaikan kos sara hidup.

"Sekarang teruk. Dulu sebelum Najib, elok sikit. Kita  tertekan," kata Razali, 60, sambil menambah bahawa harga kelapa sawit yang tidak menentu adalah antara kebimbangannya.

Pekan akan ditandingi oleh calon dari parti BERSATU pimpinan Mahathir dalam PRU14.

Seorang pemimpin Umno Pekan, bagaimanapun, yakin bahawa BERSATU sebagai sebuah parti baru, akan hilang deposit.

Itulah pandangan Ketua Biro Orang Asli Umno Pekan, Shaharuddin Ahmad kepada Malaysiakini ketika ditemui sebelum itu.

Beliau menjangka BERSATU akan berdepan dengan apa yang telah berlaku kepada parti Semangat 46, "mereka akan hilang deposit mereka".

[Baca berita penuh]