Najib: Gesaan pulau barangan Thailand di luar bidangkuasa kjaan Msia
Gesaan aktivis Malaysia supaya umat Islam memboikot barangan Thailand sebagai membantah tindakan kerajaan negara itu terhadap penduduk Islam di wilayah selatannya, adalah diluar bidangkuasa kerajaan Malaysia, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Gesaan aktivis Malaysia supaya umat Islam memboikot barangan Thailand sebagai membantah tindakan kerajaan negara itu terhadap penduduk Islam di wilayah selatannya, adalah diluar bidangkuasa kerajaan Malaysia, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Katanya, kerajaan Malaysia tidak ada membuat apa-apa arahan atau usaha untuk memulau produk dari negara jiran itu.
Akhbar hari ini melaporkan Perdana Menteri Thailand Thaksin Shinawatra (foto) menyelar tindakan aktivis Malaysia yang gesaan tersebut ketika mereka mengadakan demonstrasi di luar kedutaan Thailand di Kuala Lumpur Isnin lalu berhubung perkembangan di wilayah selatan Thai itu..
"Kita mahu mengekalkan hubungan baik dengan Thailand. Kalau ada apa-apa pun yang berlaku, yang dibuat oleh individu atau NGO, itu adalah luar bidang kuasa kerajaan Malaysia.
"Mereka pun mempunyai pendirian masing-masing," kata Najib kepada pemberita di Putrajaya selepas dikunjungi dua akauntan Malaysia, Choo Yao Chin, 24, dan Raimala Sivalingam, 29, yang pulang malam tadi selepas ditahan 51 hari di Indonesia.
Menurut laporan Bernama, demonstrasi itu dilapor melibatkan 150 aktivis Malaysia mewakili beberapa NGO yang dikatakan mempunyai lebih 20,000 ahli. Mereka turut menyerahkan nota bantahan kepada pegawai kedutaan.
Seramai 131 penduduk kampung di selatan Thailand, yang majoriti penduduknya beragama Islam, lari ke Kelantan pada 30 Ogos lalu kerana mendakwa bimbang dengan keselamatan mereka berikutan tindakan pihak keselamatan Thailand dalam menangani pergolakan di wilayah itu.
Guna saluran sedia ada
Setelah berada di pusat tahanan di Kelantan sejak 31 Ogos, mereka dipindahkan ke Terengganu Sabtu lalu.
Sementara itu, Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, Thailand perlu menggunakan saluran sedia ada untuk memaklumkan sebarang permintaan kepada Malaysia berhubung penghantaran balik suspek militan yang didakwa berada di kalangan 131 penduduk terbabit.
Bagaimanapun, katanya, sebelum perkara itu boleh dilakukan, Kuala Lumpur perlu berpuas hati bahawa segala soal perundangan dipatuhi serta keselamatan dan hak asasi individu berkenaan terjamin.
"Jadi, kalau ada apa-apa yang difikirkan militan ke, apa ke, dia boleh berhubung dengan saluran yang sedia ada. Hubungan antara polis dia dan polis kita adalah baik sekali.
"Saya percaya dia (pihak Thailand) pun faham tentang saluran yang perlu digunakan," katanya sebagai mengulas laporan akhbar mengenai kenyataan Timbalan Perdana Menteri Thailand Jeneral Chidchai Vanasatidya di Bangkok kelmarin.
Menurut Chidchai, pihaknya akan meminta kerjasama Malaysia untuk menyerahkan suspek militan yang dikatakan berlindung di kalangan 131 penduduk Islam itu.
"Bila rakyat luar lari dari negara dan dia tak mahu pulang, kita bertanggungjawab menurut undang-undang antarabangsa untuk memikirkan kalau hendak dihantar balik, apakah janji-janji berhubung proses undang-undang dan hak asasi yang perlu dilindungi kepada mereka yang minta perlindungan," kata Syed Hamid.
Menurutnya, apabila segala kekhuatiran penduduk kampung terbabit tidak wujud lagi, maka pada ketika itu terpulang kepada kedua-dua kerajaan untuk menentukan tindakan selanjutnya.
Penduduk selatan Thailand itu melarikan diri ke Kelantan hujung bulan Ogos lalu selepas mendakwa bahawa mereka bimbang tentang keselamatan mereka ekoran tindakan pasukan keselamatan Thailand dalam menghadapi pergolakan di wilayah terbabit.

