Elaun SL1M RM2,000 berkuat kuasa hari ini
Elaun Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) dinaikkan daripada RM1,500 kepada RM2,000 berkuat kuasa hari ini.
Ketua Sekretariat SL1M Norashikin Ismail berkata kenaikan ini ialah untuk meringankan beban pelatih di ibu kota.
"Kos sara hidup di ibu kota sangat tinggi dan dengan kenaikan ini, ia dapat meningkatkan semangat mereka untuk melaksanakan tugasan dengan lebih baik," katanya dalam satu sidang akhbar di ibunegara hari ini.
Minggu lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah mengumumkan kenaikan elaun tersebut semasa ucapan beliau pada Program Temuduga Terbuka SL1M di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).
Sehingga kini, 400 syarikat telah berkolaborasi bersama SL1M dan setakat Disember 2017, seramai 144,400 graduan telah dibantu melalui penglibatan secara langsung dan tidak langsung.
Selain itu, SL1M juga akan mengadakan program temu duga terbuka peringkat negeri Sabah di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Kota Kinabalu pada 17 hingga 18 Mac ini dan menyasarkan 10,000 pekerjaan untuk ditawarkan kepada graduan tempatan.
Antara syarikat yang akan mengambil bahagian pada program tersebut ialah Maybank, Celcom Axiata Berhad, Petronas, UEM Group, Malaysia Airlines dan Lebuhraya Pan-Borneo.
"Kami menyeru syarikat-syarikat tempatan Sabah untuk datang ke SL1M bagi menawarkan pekerjaan kepada graduan-graduan tempatan," katanya.
Sementara itu program temu duga terbuka SL1M peringkat negeri Sabah, yang akan diadakan tahun ini, bakal membuka lebih 10,000 peluang pekerjaan kepada graduan khususnya anak tempatan Sabah.
Norashikin berkata program SL1M di Universiti Malaysia Sabah (UMS) selama dua hari bermula 17 Mac ini akan disertai pelbagai syarikat gergasi seperti Maybank, CIMB, Petronas dan Lebuhraya Pan-Borneo.
“Syarikat-syarikat ini terutamanya Petronas dan Lebuhraya Pan-Borneo akan menawarkan pekerjaan di Sabah untuk anak Sabah manakala kebanyakan syarikat lain akan menawarkan pekerjaan di ibu negara,” katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau berharap jarak dan kos untuk berhijrah dari Sabah ke Kuala Lumpur tidak dijadikan sebagai halangan.
“Apa-apa masalah seperti tiada tempat tinggal, tiada duit nak beli tiket (kapal terbang), boleh rujuk dengan SL1M. Kita akan bantu mana yang boleh,”katanya.
Memahami kesukaran yang dihadapi oleh anak muda Sabah terutama yang tinggal di pedalaman, Norashikin berkata pihak SL1M akan berkerjasama dengan Grab untuk menawarkan diskaun sebanyak RM8 bagi mereka yang menghadiri temu duga itu.
Beliau berkata pihaknya juga akan menyediakan bas ulang alik secara percuma dari Dewan Bandaraya Kota Kinabalu dan Terminal Bas Inanam ke UMS dengan kekerapan setiap 30 minit.
“Saya berharap anak-anak Sabah dapat menggunakan peluang yang ada ini untuk meningkatkan taraf kehidupan mereka. Kita ada ramai yang berjaya, daripada miskin tegar dan dengan inisiatif SL1M, kehidupan mereka berubah 360 darjah,” katanya.
Ini merupakan kali keempat SL1M mengadakan temu duga terbuka di Sabah.
SL1M merupakan inisiatif kerajaan yang dilancarkan pada Jun 2011 untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan dengan mempersiapkan mereka dengan ilmu, kemahiran dan pengalaman bekerja.
Sehingga kini, sebanyak 400 syarikat berkerjasama dengan SL1M dan setakat Disember 2017, seramai 144,400 graduan telah dibantu melalui penglibatan secara langsung dan tidak langsung.
- Bernama

