MPAJ nafi tidak hubungi pemaju Flat Taman Ampang Mewah
Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menafikan yang pihaknya tidak memaklumkan kepada syarikat pemaju Flat Taman Ampang Mewah berhubung majlis perbincangan dengan penduduk flat terbabit Sabtu lalu, bagi menyelesaikan beberapa masalah, termasuk geran hak milik dan penyelenggaraan.
Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menafikan yang pihaknya tidak memaklumkan kepada syarikat pemaju Flat Taman Ampang Mewah berhubung majlis perbincangan dengan penduduk flat terbabit Sabtu lalu, bagi menyelesaikan beberapa masalah, termasuk geran hak milik dan penyelenggaraan.
Sebaliknya, Pegawai Perhubungan Awam MPAJ, Norhayati Ahmad berkata, Bahagian Kejuruteraannya, telahpun menghubungi pemaju - Seimbang Sdn Bhd, meminta wakil mereka menghadiri perbincangan tersebut.
Malah, beliau berkata, pihaknya juga telah memaklumkan perkara tersebut kepada syarikat penyelenggara - Land Serve Property Management - supaya menghadiri majlis tersebut.
"Kedua-dua syarikat tersebut setuju hadir bagi menerangkan kedudukan sebenar mengenai masalah geran hak milik dan juga penyelenggaraan yang dihadapi oleh penduduk flat berkenaan.
"Malangnya, kedua-duanya Seimbang dan Land Serve Property Management tidak datang dan ini menyebabkan perbincangan yang dijadualkan terpaksa dibatalkan," katanya.
Oleh itu, Norhayati terkejut apabila syarikat Town West Sdn Bhd mendakwa yang pihaknya sebagai pemaju Flat Taman Ampang Mewah, bukannya Seimbang. Difahamkan, Town West adalah anak syarikat Seimbang.
Berikutan itu, katanya, beliau akan meminta Bahagian Kejuruteraan MPAJ membuat pemeriksaan untuk mengenalpasti kaitan di antara Seimbang dan Town West.
Sedia berbincang
Sebelum ini, Town West dilaporkan mendakwa pihaknya tidak tahu menahu mengenai masalah tersebut kerana tidak menerima sebarang aduan daripada penduduk terbabit.
Jurucakapnya berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah untuk menemui penduduk untuk berbincang mengenai masalah geran hak milik dan penyelenggaraan flat berkenaan.
Manakala Land Serve Property Management pula mendakwa penghuni Flat Taman Ampang Mewah, tidak membayar kos penyelenggaraan sejak bertahun-tahun lalu.
Jurucakapnya berkata, sehingga ini tunggakan bayaran itu berjumlah hampir RM150,000 dan ini menyebabkan pihaknya terpaksa mendapat sumber kewangan lain bagi kerja-kerja penyelenggaraan lain yang lebih penting.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.