Baiah talak tiga: PAS Kelantan belum putuskan
PAS Kelantan masih belum berbincang sama ada mahu mengekalkan lafaz cerai talak tiga dalam sumpah baiah yang melibatkan calon mereka pada pilihan raya umum akan datang.
Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dipetikSinar Online sebagai berkata, parti itu juga masih belum membuat sebarang keputusan berhubung perkara berkenaan memandangkan ia perlu ditentukan oleh pesuruhjaya PAS negeri.
“Secara rasmi masih belum bincang lagi. Benda ini biasanya Pesuruhjaya Pas negeri yang akan buat keputusan.
“Di Kelantan ini sama ada nak tambah atau tidak kena rujuk Pesuruhjaya,” katanya dalam laporan Sinar Online itu.
Majlis Syura Ulama PAS sebelum ini menetapkan untuk mengekalkan lafaz sumpah baiah kepada calon mereka menjelang pilihan raya umum ke-14.
Menurut laporan, Majlis Syura Ulama juga akan selaraskan sumpah baiah kepada semua calon, tetapi bagaimanapun, sebarang penambahan lafaz taklik cerai talak tiga bergantung kepada keperluan dan ia akan diteliti sebelum dimuktamadkan.
Bagaimanapun, Muslimat PAS berpendapat tiada masalah dengan baiah sumpah taat setia laknak dan talak tiga bagi menjamin kesetiaan wakil rakyatnya agar tidak melompat parti.
Sumpah baiah talak tiga diwajibkan kepada semua wakil rakyat PAS di Kelantan pada PRU lalu untuk memastikan mereka tidak melompat parti dan jika berbuat demikian isteri mereka tercerai dengan talak tiga.

