Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Dakwaan sogokan RM3juta: Azeez buat laporan polis
Diterbitkan:  Mar 2, 2018 11:19 AM
Dikemaskini: 5:14 AM

Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim hari ini membuat laporan polis berhubung dakwaan beliau menerima bayaran RM3 juta daripada Konsortium Zenith Construction Sdn Bhd berhubung kerja-kerja rundingan berkaitan projek terowong bawah laut Pulau Pinang.

Abdul Azeez yang juga adalah ahli majlis tertinggi Umno membuat laporan polis itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam kira-kira pukul 9.30 pagi tadi dengan diiringi penyokongnya.

Pada 27 Februari lalu, Abdul Azeez menafikan beliau menerima bayaran RM3 juta itu dan mengesahkan bahawa beliau telah menerima surat tuntutan daripada firma itu melalui pos berdaftar tetapi berkata dakwaan itu jelas tidak benar.

Menurutnya, dirinya bersedia disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan kes itu.

Abdul Azeez, berkata, beliau tidak tahu apa-apa berkenaan dakwaan itu dan menyifatkannya sebagai tuduhan liar yang berniat mahu menjatuhkannya terutama menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Surat tuntutan Zenith dilaporkan dihantar pada 24 Februari lalu, di mana ahli politik itu dilaporkan menerima bayaran RM3 juta untuk kerja rundingan berkaitan dengan projek terowong.

Sumber juga memberitahu Malaysiakini bahawa Zenith turut mendakwa telah membayar RM19 juta kepada seorang ahli perniagaan untuk kerja rundingan.

Zenith merancang untuk menyaman kedua-dua mereka kerana mendakwa mereka gagal melaksanakan tugas masing-masing.

Sementara itu, portal Berita Harian Online melaporkan selain meminta polis menyiasat tohmahan itu, Abdul Azeez mahu Konsortium Zenithmenarik balik tuduhan dibuat mereka menerusi surat tuntutan yang dihantar, dalam tempoh empat hari.

Kegagalan menarik balik dakwaan tidak berasas itu, menyebabkan beliau tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat berkenaan.

"Saya tidak pernah ada apa-apa urusan dengan syarikat Zenith. Saya buat laporan ini juga untuk memohon polis siasat dakwaan ini. Saya sedia untuk beri sebarang kerjasama pada polis dan pihak berwajib.

"Saya menjadi mangsa orang jual nama, hari ini saya harap ada satu titik noktah mengenai isu ini, semua pihak diminta siasat secara telus," katanya yang dipetik portal itu.

Sementara itu, peguam Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos yang mewakili Abdul Azeez, berkata pihaknya sudah membalas surat tuntutan daripada peguam Konsortium Zenith kelmarin dan menyatakan semua dakwaan berkenaan adalah palsu.

"Dalam surat balas itu juga kami meminta mereka menarik balik tuduhan dalam tempoh masa empat hari dan meminta maaf. Jika tidak kita akan teruskan dengan tindakan undang-undang," katanya.

Lihat Komen
ADS