'1MDB kembali jadi tumpuan, tapi Malaysia buat apa?'
Pendedahan terbaru berkaitan dakwaan cubaan rakan rapat Presiden Amerika Syarikat Donald Trump untuk berunding dengan ahli perniagaan Jho Low supaya kes berkaitan 1MDB digugurkan, membuatkan 1MDB kembali menjadi tumpuan.
Bagaimanapun, Pakatan Harapan mempersoalkan langkah pihak berkuasa Malaysia di tengah-tengah perkembangan kes berprofil tinggi itu.
“Pendedahan ini dibuat selepas rampasan kapal layar Jho Low di Bali, ini membawa skandal 1MDB kembali dalam tumpuan.
“Dengan pihak berkuasa seluruh dunia memberi fokus kepada skandal ini, kita wajib bertanya: apa yang dibuat pihak berkuasa Malaysia? “ soal Ketua Pemuda HARAPAN Nik Nazmi Nik Ahmad.
Menteri Multimedia dan Komunikasi Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata tiada bukti kapal itu milik Jho Low dan dibeli menggunakan wang 1MDB.
The Wall Street Journal (WSJ) malam tadi melaporkan terdapat bukti e-mel menunjukkan terdapat draf cadangan dari penderma setia Republikan, Elliott Broidy dan isterinya yang meminta yuran AS$75 juta (RM295 juta ) “jika Jabatan Keadilan (DOJ) segera menggugurkan siasatannya”.
Baca: WSJ: Sekutu Trump minta wang dari Jho Low untuk pengaruhi DOJ
Dalam e-mel itu juga didakwa mempunyai panduan ucapan dari Broidy yang didraf untuk pertemuan Najib dan Trump tahun lalu.
Malaysiakini tidak dapat mengesahkan sendiri laporan ini dan telah menghubungi Pejabat Perdana Menteri bagi mendapatkan reaksi.
Peguam Broidy dan isterinya – Chris Clark – berkata WSJ sebenarnya memiliki draf dokumen dalaman yang tidak pernah digunakan, dan tidak pernah dihasrat untuk dikongsi bersama pihak ketiga.

