Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang mengalami kecederaan di dahinya malam semalam selepas tergelincir di dalam tandas di rumahnya di Gelang Patah, Johor.

Menurut kenyataan dari ibu pejabat DAP, berikutan kecederaan berkenaan beliau dirawat dengan segera di sebuah klinik berhampiran.

Doktor juga menasihati anggota parlimen Gelang Patang itu supaya berehat, kata kenyataan itu.

"Lim Kit Siang membatalkan semua acaranya yang telah dijadualkan pada hujung minggu ini termasuk forum di kedai kopi di Gelang Patang pada pagi ini dan satu lagi di Pekan Nenas pada pagi Sabtu.

"Beliau juga tidak akan menghadiri majlis ulang tahun ke-4 sempena memperingati tragedi MH370 pada Sabtu petang di Kuala Lumpur," kata kenyataan berkenaan.

Selain itu, tarikh baru akan ditetapkan bagi Lim membuat lawatan ke Sg Pelek dan Sepang pada Ahad ini serta beliau tidak akan dapat menghadiri majlis makan malam bagi mengutip dana PKR di Setia Alam pada malam Ahad.

Pada Disember tahun lalu, ketua parlimen DAP itu disahkan menghidap kanser tahap pertama dan terpasa membuang 30 peratus bahagian buah pinggangnya.

Bagaimanapun, kata Setiausaha Agung DAP Guan Eng yang juga anaknya, doktor berjaya membuang tumor kecil itu dan dijangka pulih tanpa sebarang komplikasi.

Selepas berehat sebulan, beliau membuat penampilan semula pada penghujung Januari tahun ini.

Menceritakan detik, dirinya dibawa ke dewan bedah untuk membuang tumor itu, Lim berkata, beliau ketika itu merasakan detik berkenaan adalah penamat baginya.

"Sebelum pembedahan, saya fikir ini adalah pengakhiran kisah saya, hidup saya," katanya yang berusia 77 tahun.

Namun, pada masa sama, anggota parlimen Gelang Patah itu berkata beliau tetap tidak dapat membuang soal politik dan masa depan negara dalam fikirannya.

"Saya juga berfikir, jika inilah penamatnya, bagaimana dengan hala tuju (Malaysia) selepas ini?" katanya.