Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tetap bertegas dengan pendiriannya untuk terus bercakap berkenaan isu terowong dasar laut walaupun diberi amaran oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), supaya berhati-hati bagi mengelak fitnah.

Lim berkata, walaupun menyedari dirinya akan ditahan kerana mengeluarkan kenyataan seperti itu, beliau tidak kisah kerana apa yang dikatakannya sebelum ini berdasarkan kebenaran.

“Saya bertegas dengan apa yang saya sebut. Dulu pun SPRM kata nak ambil tindakan ke atas saya pasal kes tangkapan Phee (Exco Alam Sekitar, Phee Boon Poh) tapi tak ada pun.

“Dulu mereka kata tak akan ambil tindakan ke atas ahli politik, tapi mereka ambil tindakan pemimpin atasan pembangkang. Media BN keluarkan berita palsu, tidak pula ambil tindakan,” katanya yang dipetik portal Sinar Harian, hari ini.

Rabu lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad memberi amaran kepada Lim dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali supaya berhati-hati mengeluarkan sebarang kenyataan.

Peringatan kepada kedua-dua pemimpin Pakatan Harapan itu merujuk kepada kenyataan mereka berhubung kes penjualan tanah di Ijok serta projek mega terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Menurut Dzulkifli, kedua-dua pemimpin negeri itu sepatutnya memberi ruang kepada SPRM untuk menjalankan siasatan secara bebas memandangkan semua pihak mahu perkara berkenaan diselesaikan secara profesional.