Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) diminta menjadi pemerhati dalam perbicaraan semakan kehakiman kes pembuangan kerja bekas wartawan Amran Ahmad oleh Utusan Melayu (Malaysia) Bhd (UMMB).

Amran Ahmad yang juga bekas pengerusi Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Utusan Melayu berkata NUJ Malaysia sekarang dalam proses perbincangan dengan MTUC untuk tujuan itu.

"Keputusan kes ini penting terhadap semua kesatuan sekerja di peringkat tempatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Amran mendakwa beliau dibuang kerja secara salah pada 2009 selepas mengadukan transaksi syarikat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia selain menulis tiga artikel yang disiarkan di Malaysiakini dan Harakahdaily berhubung transaksi itu.

Selepas melalui proses perundangan yang panjang, Mahkamah Perusahaan Kuala Lumpur pada 24 Oktober 2017 memutuskan Amran bersalah memfitnah pihak pengurusan dan syarikat UMMB.

Beliau kemudian memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi dan Hakim Datin Azizah Nawawi membenarkannya.

Amran yang diwakili peguam Gobind Singh Deo memaklumkan perbicaraan semakan kehakiman itu dijadual pada 27 Jun 2018 ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Dalam permohonan semakan kehakiman itu beliau antara lain menuntut keseluruhan keputusan Mahkamah Perusahaan dibatalkan dan pengisytiharan bahawa pemecatannya oleh UMMB dilakukan tanpa sebab dan alasan yang adil.