Tahun lepas Rebecca Ng, 22, dari Seri Kembangan dekat Petaling Jaya melontar lima biji limau mandarin semasa sambutan Chap Goh Meh atau Hari Valentine kaum Cina.

Limau yang dilontarnya itu membawanya berkenalan dengan dua jejaka yang kini menjadi sahabatnya.

Tahun ini, dia berhasrat mencari jejaka idaman hati dan menggandakan bilangan limau yang dilontar ke dalam tasik Taman Tasik Jaya di Petaling Jaya, sekali gus meningkatkan peluang limaunya dipungut oleh lebih ramai pemuda.

"Ini merupakan tahun kedua saya menyertai acara melontar limau mandarin ini dan sangat seronok apabila dapat berkenalan dengan ramai rakan-rakan, “ katanya ketika ditemui Bernama pada sambutan Chap Goh Meh anjuran Majlis Perbandaran Petaling Jaya malam tadi.

Pesta itu yang dirai pada hari ke-15 Tahun Baharu Cina sebagai penutup tirai sambutan turut disertai kaum lain.

Antaranya Azlin Khalid dan rakan-rakannya yang tidak ketinggalan melontar limau mandarin yang bertulis nama dan nombor telefon mereka ke dalam tasik itu.

Azlin berkata dia sering mendengar cerita daripada rakan-rakan Tionghoanya mengenai kemeriahan acara membaling limau mandarin tersebut, sekali gus mendorongnya untuk menyertai mereka tahun ini.

Katanya mereka tiba di Taman Tasik Jaya pada 6 petang bersama-sama sekotak limau mandarin dan kini teruja untuk melihat sama ada mereka akan dihubungi oleh jejaka yang mengutip limau mereka.

“Ini merupakan kali pertama saya melontar limau dan harap-harap dapat berkenalan dengan lebih ramai rakan,” katanya .

Sementara itu, Terry Pang, 30, mengambil kesempatan menawarkan perkhidmatan menyewa jala dan pengaut kepada pemuda yang datang untuk memungut limau mandarin di tasik tersebut.

Katanya, sebanyak 15 jala dan pengaut limau mandarin yang diperbuat daripada galah dengan bakul kecil diikat pada hujungnya disewanya pada kadar RM10 untuk 30 minit

"Ramai jejaka yang datang untuk menyewa jala dan pengaut limau itu,” katanya.

- Bernama