MMA: Purata seorang doktor kerajaan berhenti setiap hari
Berdasarkan statistik Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), purata seorang doktor meninggalkan perkhidmatan kerajaan sepanjang tahun lalu, untuk menyertai sektor swasta atau kerana kecewa dengan kerja-kerja pentadbiran seperti menghadiri mesyuarat dan seminar.
Berdasarkan statistik Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), purata seorang doktor meninggalkan perkhidmatan kerajaan sepanjang tahun lalu, untuk menyertai sektor swasta atau kerana kecewa dengan kerja-kerja pentadbiran seperti menghadiri mesyuarat dan seminar.
Menurut MMA, seramai 374 doktor meninggalkan perkhidmatan kerajaan sepanjang tahun lalulepas, iaitu purata seorang doktor sehari.
Ramai kalangan mereka menyertai sektor swasta kerana mereka mahukan gaji yang lebih tinggi dan tempoh waktu kerja yang lebih baik.
Tapi sesetengahnya mungkin berhenti kerana kecewa dengan kerja-kerja pentadbiran, mesyuarat dan seminar-seminar, yang menurut mereka mejauhkan mereka daripada "aktiviti teras doktor" -- merawat pesakit.
Timbalan Setiausaha Kehormat MMA Dr Kuljit Singh menganggarkan bahawa sekurang-kurangnya 20 hingga 40 peratus masa doktor kerajaan dihabiskan dengan mesyuarat jabatan, hospital, kerajaan serta kementerian, di samping terpaksa menghadiri kursus-kursus dan seminar.
"Terpaksa tinggalkan kerja-kerja klinikal, dan adakalanya terpaksa tinggalkan klinik pada sebelah petangnya kepada petugas yang lebih junior," katanya kepada Bernama.
Menurutnya, jika masalah ini tidak diatasi segera, beliau menjangka lebih ramai doktor kerajaan akan berhijrah mencari 'padang ragut' yang lebih baik, keluar dari hospital kerajaan untuk menyertai sektor yang menjanjikan pendapatan empat kali ganda lebih baik, dengan tugasnya hanya merawat pesakit.
Kerja-kerja pengurusan
"Dalam sektor swasta, mereka tidak punyai kerja-kerja pengurusan, atau kursus, dan tidak banyak mesyuarat," katanya.
Bagaimanapun, Naib Pengerusi Bahagian Membabitkan Pegawai Dalaman, Pegawai Perubatan dan Pakar MMA (SCHOMOS), Dr Mastura Ismail pula berpendapat bahawa ketua-ketua jabatan memang perlu menghadiri mesyuarat.
"Sebagai seorang ketua, anda perlu menghadiri mesyuarat teknikal, pengurusan dan saintifik," katanya.
Sebagai pakar perubatan keluarga, beliau menghadiri mesyuarat perinatal sekali setiap bulan, dan apabila ada kematian ibu semasa bersalin, beliau juga dikehendaki menghadiri mesyuarat yang diadakan dalam tempoh sebulan selepas kematian.
Sebagai tambahan, beliau juga terpaksa menghadiri mesyuarat pengurusan peringkat daerah dan mesyuarat kewangan sekali atau dua kali sebulan.
"Tetapi adakalanya anda boleh hantar wakil untuk menghadiri beberapa mesyuarat bagi pihak anda, dan arahkan mereka untuk tampil memberi laporan kepada anda," katanya.
Sesetengah doktor pula merungut tentang peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) di bawah Sistem Saraan Malaysia yang baru diperkenalkan 2002 yang termasuk penilaian dalaman, kursus-kursus dan peperiksaan.
Tidak dinaikkan pangkat
Dr Kuljit memberi contohnya doktor yang perlu menghadiri kursus berhubung peraturan-peraturan kerajaan serta pelbagai pekeliling -- seperti bagaimana cara hendak memohon cuti.
"Sekiranya para doktor tidak mengikuti kursus ini, mereka tidak akan dinaikkan pangkat," katanya sekaligus mempersoalkan sekiranya penilaian terhadap tugas-tugas itu dapat mengukur keberkesanan mereka sebagai doktor.
"Penilaian yang dibuat berdasarkan kepada jumlah pesakit yang dirawat, jumlah sesi mengajar serta jumlah pembentangan yang dilakukan oleh seseorang doktor, adalah lebih wajar," kata Dr Kuljit.
Bagaimanapun beliau tetap mengalu-alukan cadangan Kementerian Kesihatan untuk manyatukan pembangunan professional yang berterusan dengan PTK, dan mencadangkan markah diberikan kepada doktor yang mengambil kursus perubatan yang berkaitan -- mungkin sekali setiap tahun.
"Kami sentiasa menggalakkan para doktor untuk membangunkan kerjaya mereka secara berterusan," kata bekas Presiden MMA Datuk Dr N. Arumugam, dengan memetik satu kajian yang menyatakan bahawa dalam tempoh lima tahun, 30 hingga 50 peratus teknik perubatan dan rawatan akan berubah.
"Tempoh antara 10 hari dan dua minggu setiap tahun, adalah tempoh masa yang terbaik untuk digunakan bagi mengikuti kursus-kursus yang berkaitan," katanya.
Dr Mastura pula berkata Kementerian Kesihatan sentiasa menggalakkan para doktor kerajaan menyertai kursus-kursus untuk memajukan diri, selagi doktor berkenaan tahu menguruskan masa dan berlaku adil dengan rakan-rakan setugas dalam menunggu giliran untuk menyertai kursus-kursus.
"Pokok pangkalnya tetap berkisar kepada satu perkara -- keutamaan adalah kepada pesakit terlebih dahulu," katanya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.