Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai mendakwa Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz sebagai "berpakat dengan pembangkang dari dalam BN".

"Hari ini MCA bukan saja berdepan dengan parti pembangkang yang kelihatan sangat kuat, tetapi juga daripada 'pihak yang berpakat dengan pembangkang' dari dalam BN.

"Semua orang tahu siapa yang saya maksudkan.

"Beliau adalah menteri pelancongan yang membuat tuduhan tak berasas terhadap (hartawa) Tan Sri Robert Kuok," katanya ketika berucap dalam sambutan ulang tahun ke-69 MCA di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur hari ini.

Liow yang juga menteri pengangkutan sebelum ini berkata terdapat kelompok dalam BN yang bersekongkol untuk menghancurkan MCA, tetapi tidak menyebut sesiapa secara khusus.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut tentang "berpakat dengan pembangkang dari dalam BN", ketika ditanya pada sidang media selepas program.

"Saya tidak ingin melabel, apa yang saya kata adalah MCA akan berusaha keras kerana kami berhadapan pilihan raya yang amat sukar. Kami ingin fokus pada pilihan raya," katanya.

Pertikaman lidah antara Nazri dan pemimpin MCA tercetus selepas Nazri menyerang Kuok yang dituduh penulis blog Raja Petra Kamaruddin sebagai memberi sumbangan dana kepada DAP.

'Nazri, jaga kata-kata anda'

Pemimpin MCA menuduh Nazri cuba menjejaskan parti itu, mendakwa serangannya terhadap Kuok akan mencetuskan kemarahan masyarakat Cina dan menguntungkan DAP.

Nazri pula menyifatkan MCA sebagai "kebudak-budakan" kerana membincangkan isu itu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Dia serang Umno boleh, kita serang balik, takut, jumpa perdana menteri. Macam budak-budak," katanya.

Dalam ucapannya, Liow turut menyerang Nazri berhubung perkara itu.

"Nazri, jaga kata-kata anda. Biar saya ingatkan anda, apa masalahnya jika MCA menyampaikan perasaan masyarakat Cina kepada perdana menteri?" soalnya.

Lihat Komen
ADS